UEC tidak diiktiraf sistem pendidikan kebangsaan

UEC tidak diiktiraf sistem pendidikan kebangsaan

ANUAR AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada mana-mana negara di dunia yang mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan mereka.

Sehubungan itu, tuntutan Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Datuk Tan Yew Sing, agar UEC diiktiraf setaraf dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dianggap tidak berasas.

Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, kenyataan bahawa UEC diteri­ma di luar negara mengelirukan masyarakat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“UEC memang diiktiraf untuk kemasukan ke universiti, tetapi penerimaan oleh universiti tidak bermakna pengiktirafan oleh kerajaan sesebuah negara.

“Hakikatnya, tidak ada negara di dunia ini yang mengiktiraf UEC yang dibangunkan oleh sebuah persatuan atau NGO sebagai setaraf sistem pendidikan kebangsaan.

“Singapura dan China juga tidak mengiktiraf UEC setaraf dengan pendidikan kebangsaan mereka,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Semalam akhbar ini melaporkan Yew Sing berkata, pengiktirafan UEC akan mencerminkan kematangan negara dalam mengu­rus kepelbagaian serta memperkukuh ekosistem pendidikan nasional.

Namun Dr. Anuar menegaskan bahawa penyamarataan UEC berpotensi melemahkan sistem sedia ada seperti STPM, matrikulasi dan program asasi, selain mewujudkan dualisme pendidikan berasaskan kaum.

“Jika UEC diiktiraf setaraf, ibu bapa akan memilih aliran yang lebih mudah dan menggunakan bahasa ibunda. Akhirnya, kita akan melihat pemisahan pelajar mengikut kaum semakin ketara.

“Ini bercanggah dengan matlamat pembinaan negara bangsa dan usaha memupuk perpaduan melalui bahasa kebangsaan,” katanya.

Katanya lagi, pengiktirafan penuh UEC akan mencetuskan ketidakadilan dalam kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

“IPTA mempunyai kapasiti terhad. Pelajar SPM dan STPM yang mengikuti sistem kebangsaan sejak awal akan terpaksa bersaing dengan pelajar dari aliran yang memilih berada di luar sistem.

“Ini bukan sahaja tidak adil, malah bercanggah dengan prinsip asas pengurusan pendidikan negara,” katanya.

Beliau turut menolak cada­ngan pengiktirafan bersyarat UEC sebagai jalan tengah untuk kemasukan ke IPTA, sambil menegaskan semua warga negara yang mahu memasuki universiti awam seharusnya melalui pe­periksaan kebangsaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×