KOTA TINGGI: Tindakan dua suspek yang menyamar sebagai nelayan tradisional dengan menggunakan bot kecil sebagai pengangkutan untuk membawa dadah keluar ke negara jiran gagal mengaburi mata pihak berkuasa.
Hasilnya apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili, di sini berjaya merampas dadah disyaki jenis syabu dengan anggaran berat enam kilogram bernilai RM330,000 yang disembunyikan dalam tong minyak.
Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia Johor, Kapten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, pasukannya mengesan dua bot gentian kaca yang saling merapat di kedudukan 1.6 batu nautika selatan Tanjung Setapa, pukul 7.30 petang, kelmarin.
“Mengesyaki situasi kedua-dua bot tersebut, pasukan operasi bertindak menuju ke arah lokasi untuk serbuan dan pemeriksaan.
“Bagaimanapun kedua-dua suspek bertindak meninggalkan sebuah bot di lokasi dan melarikan diri bersama salah satu daripada bot tersebut dengan memecut laju menuju ke sempadan perairan Malaysia-Indonesia.
“Pasukan operasi berusaha mengejar memintas bot suspek, namun suspek nekad meloloskan diri melalui zon ‘traffic separation scheme’ (TSS) dan berjaya melepasi sempadan perairan Indonesia,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Kata Simon, hasil pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan mendapati terdapat satu tong berwarna hijau yang mengandungi dadah.
Tambahnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM350,000 termasuk bot gentian kaca dan enjin jenis Yamaha 40 kuasa kuda.
“Kita akan menyiasat lebih lanjut kes ini bagi menjejaki dalang atau pihak terlibat dalam pengedaran dadah kerana aktiviti ini dilihat mula aktif di perairan Johor.
“Bagi menyekat jenayah rentas sempadan khasnya penyeludupan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan pengedaran dadah di perairan Johor, Maritim Malaysia juga telah meningkatkan pemantauan ke atas semua jenis bot.
“Orang ramai terutamanya komuniti maritim yang mempunyai maklumat atau sebarang salah laku jenayah di laut diminta bekerjasama menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan aduan melalui talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404,” katanya. – UTUSAN