Tak mengaku bakar pondok bit polis - Utusan Malaysia

Tak mengaku bakar pondok bit polis

MOHD. Zamri Mohd. Zakariyah dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan atas pertuduhan membakar pondok bit polis di Jelawat, Bachok, dua minggu lalu. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan membakar sebuah pondok bit polis di Jelawat, Bachok, dekat sini kira-kira dua minggu lalu.

Mohd. Zamri Mohd. Zakariyah, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan khianat menggunakan api dan membakar pondok bit polis Jelawat, Bachok, pukul 2.20 pagi pada 11 September lalu.

Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Tiimbalan Pendakwa Raya, Fariz Abdul Hamid manakala tertuduh diwakili peguam, Syed Muhammad Syafiq Syed Abu Bakar dan Husni Mubarak.

Terdahulu, Fariz menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin manakala Syed Muhammad Syafiq dalam rayuan memohon jaminan rendah kerana anak guamnya hanya meraih pendapatan RM60 sehari.

Kata Syed Muhammad Syafiq, tertuduh juga masih bujang dan perlu menanggung ayahnya yang kini uzur.

Mahkamah membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 27 Oktober ini tarikh sebutan semula kes. Tertuduh membayar jaminan ditetapkan mahkamah.

Terdahulu,  video rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) tular di media sosial memaparkan perbuatan seorang penunggang motosikal membakar pondok bit polis di Jelawat, Bachok.

Selepas suspek ditahan polis, siasatan awal mendapati dia berbuat demikian kerana menyahut cabaran rakan-rakan untuk ‘membalas’ ketegasan pihak berkuasa mengeluarkan kompaun kepada orang ramai yang melanggar prosedur operasi standard (SOP). – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya