Subsidi haji diteruskan - Utusan Malaysia

Subsidi haji diteruskan

AHMAD MARZUK menyampaikan bantuan kepada salah seorang pelajar di pejabat Pusat Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Kelantan, hari ini. - UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Subsidi diberikan kepada umat Islam di negara ini untuk mengerjakan ibadat haji diteruskan biarpun kosnya dijangka meningkat ekoran kadar cukai yang dinaikkan Kerajaan Arab Saudi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, setakat ini kos terkini belum diputuskan namun kerajaan akan terus mengekalkan peratusan subsidi selama ini.

“Kos ibadat haji yang sebenar belum diputuskan kerajaan, mungkin meningkat berikutan Kerajaan Arab Saudi menaikkan Cukai Nilai Tambah (VAT) sehingga 15 peratus.

“Ini berikutan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) disebabkan penularan pandemik Covid-19 apabila bilangan jemaah terpaksa dihadkan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan penyampaian bantuan kepada pelajar cemerlang yang akan melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi (IPT) di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.

Seramai 337 pelajar terpilih dari Parlimen Pengkalan Chepa menerima bantuan berjumlah RM250 seorang yang dibuat secara pandu lalu.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa berkata, kerajaan  akan memaklumkan kepada bakal jemaah lebih awal jika kos haji meningkat.

Menurutnya, sejak sekian lama kos haji tidak naik kerana kedudukan kewangan kerajaan yang masih kukuh bagi membolehkan kos itu terus ditanggung.

“Kerajaan berusaha memastikan peningkatan kos haji tidak membebankan bakal jemaah walaupun dijangka meningkat kepada RM30,000 berbanding RM24,000 sebelum ini dengan jemaah hanya perlu membayar RM9,900.

“Sebelum ini, kerajaan menanggung subsidi haji berjumlah hampir RM400 juta hingga RM500 juta setahun,” katanya.

Beliau berkata, bagi kos umrah, kerajaan tidak akan menanggung subsidi kerana ia bergantung kepada kemampuan bakal jemaah.

Lembaga Tabung Haji menjangkakan kos haji meningkat pada musim haji akan datang susulan perubahan SOP ibadat itu yang dilaksanakan dalam norma baharu akibat penularan pandemik Covid-19. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.