Suri rumah rugi RM35,300 ditipu 'pegawai’ LHDN - Aidi Sham

Suri rumah rugi RM35,300 ditipu ‘pegawai’ LHDN

AIDI SHAM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seorang suri rumah berputih mata selepas wang simpanannya dan arwah suaminya yang berjumlah RM35,300 ‘lesap’ selepas ditipu sindiket ‘Macau Scam’ yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LDHN).

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa berusia 53 tahun yang menyedari ditipu telah membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah Port Dickson pada 24 Ogos lalu.

“Mangsa seorang suri rumah telah menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai Mohd. Aiman daripada LHDN memaklumkan terdapat tunggakan cukai bagi syarikat atas nama Newest Enterprise beralamat di Kedah yang didaftarkan atas nama mangsa.

“Mangsa telah menafikan perkara itu dan panggilan kemudian disambungkan kepada Tuan Sulaiman daripada IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) Kedah yang memaklumkan bahawa terdapat kebocoran maklumat mengenai akaun Tabung Haji dan Amanah Saham Berhad (ASB) milik mangsa yang telah disalah guna pihak lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas Aidi Sham, seterusnya mangsa telah diminta untuk menyerahkan maklumat nombor pada kad pengeluaran wang automatik (ATM) Bank Islam miliknya dan memasukkan wang ke sebuah akaun bank untuk tujuan siasatan.

“Mangsa telah membuat kemasukan wang melalui tiga transaksi pada 12 hingga 13 Ogos lalu dan semakan mendapati wang di dalam akaun banknya juga telah dipindahkan ke satu akaun bank lain.

“Ini menyebabkan mangsa mengalami kerugian keseluruhan RM35,300 iaitu wang simpanan mangsa dan arwah suami,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh didenda jika sabit kesalahan. 

Sehubungan itu, tambah beliau, pihak polis meminta orang ramai agar tidak mudah mempercayai panggilan-panggilan yang memaklumkan mereka sebagai badan penguat kuasa atau institusi kewangan. 

“Selain itu, mereka juga diminta untuk tidak mendedahkan butiran perbankan kepada pihak yang tidak dikenali bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN