SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai sebuah agensi kerajaan kerana dipercayai meminta dan menerima rasuah berjumlah RM5,000 daripada syarikat pengiklanan.
Perbuatan itu dipercayai dilakukan suspek berusia 44 tahun bermula 2017 hingga 2020 sebagai balasan untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek pembekalan pelekat kepada agensi berkenaan.
Suspek ditahan kira-kira pukul 2 petang ini di Pejabat SPRM Selangor.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.
Suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam Selangor pada pukul 9 pagi esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman. – UTUSAN ONLINE










