Sindiket proses dadah di kondominium mewah tumpas

Sindiket proses dadah di kondominium mewah tumpas

ANTARA dadah dan peralatan dirampas polis dalam serbuan makmal haram memproses dadah di sebuah kondominium di Mont Kiara, Kuala Lumpur pada Isnin lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menumpaskan sindiket memproses dadah dengan menahan lapan lelaki dalam serbuan di sekitar Lembah Klang, Isnin lalu.

Serbuan pertama dilakukan kira-kira pukul 8 malam di sebuah kondominium mewah di Mont Kiara dekat sini dan menahan empat warga tempatan berusia antara 21 hingga 49 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sahar Abd. Latif berkata, siasatan mendapati sindiket tersebut aktif sejak dua bulan menjalankan kegiatan memproses dadah heroin.

Katanya, pemeriksaan turut menemukan heroin seberat 11.95 kilogram dianggarkan bernilai RM160,130, kafien seberat 25 kilogram (RM8,500) dan peralatan memproses dadah.

“Hasil soal siasat lanjut ke atas suspek, pihak polis telah membuat serbuan susulan di sebuah kuil Jalan Ipoh, Kuala Lumpur dan sebuah stor ternakan anjing di Kampung Baru Subang, Shah Alam. 

“Kita turut menahan empat lelaki warga tempatan berusia 34 hingga 43 tahun dan kesemua tangkapan ini disyaki mempunyai hubungkait dengan aktiviti sindiket tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Sahar berkata, dua daripada mereka didapati positif dadah jenis THC dan enam lagi negatif dadah. 

Ujarnya, hasil semakan mendapati enam suspek mempunyai enam rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah. 

“Turut dirampas empat jenis kenderaan iaitu Proton Myvi, Proton Perdana, Nissan Navara dan Toyota Harrier.

“Dengan tangkapan ini, pihak polis berjaya menumpaskan satu sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah yang menjadikan kondominium mewah sebagai tempat menjalankan aktiviti mereka,” katanya.

Tambahnya, jumlah keseluruhan rampasan dadah tersebut mampu menampung penggunaan seramai 23,900 orang pengguna dadah.

“Kesemua mereka telah ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama enam hari bermula Selasa hingga Ahad ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan,” ujar beliau.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya