Sindiket curi lori tumpas, tiga ditahan - Utusan Malaysia

Sindiket curi lori tumpas, tiga ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kegiatan sindiket mencuri lori yang menggunakan pemutar skru dan walkie talkie terbongkar selepas tiga lelaki ditahan di sekitar Selangor pada 18 September lalu.

Suspek berusia 39 hingga 41 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan oleh Bahagian Risikan/Operasi/Rekod (D4), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, siasatan awal mendapati sindiket mencuri kemudian membuang alat pengesan Sistem Kedudukan Global (GPS) bagi mengelak dikesan.

Katanya, mereka yang bergiat aktif sejak enam bulan lalu turut menjual semula lori itu dengan harga lebih murah berbanding pasaran dilaporkan serendah RM7,000.

“Suspek pertama ditangkap ketika memberhentikan lori yang dipandu di tepi jalan Pulau Lumut PU10/P Alam Budiman, Shah Alam yang mana dia berperanan sebagai pencuri.

“Suspek mempunyai 11 kes Sekyen 379A Kanun Keseksaan, pelbagai kesalahan dadah dan pernah ditangkap mengikut Akta Pencegahan Jenayah,” katanya dalam sidang akhbar di Rawang, dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, Abd. Jalil berkata, suspek kedua pula ditangkap berdasarkan maklumat yang diberikan suspek pertama di Jalan 1/3 Rawang Industri, yang berperanan sebagai pembeli.

Ujarnya, penahanannya membawa penemuan 15 lori, satu forklift, dua bongkah enjin yang terdapat kesan gangguan pada nombor casis dan nombor enjin dirampas.

“Suspek kedua mempunyai empat kes Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan pelbagai kesalahan dadah manakala suspek ketiga ditangkap juga berdasarkan maklumat yang diberikan suspek pertama Taman Sri Indah, Bestari Jaya.

“Suspek ketiga juga berperanan sebagai pencuri lori dan pembantu kepada suspek pertama malah mempunyai enam kes mengikut Sekysen 379A Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955,” katanya.

Tambah beliau nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM2,809,300 yang mana ahli sindiket mencuri lori dan dalam perjalanan mereka akan membuang GPS sebelum mencari pembeli.

“Kita juga sedang bekerjasama dengan agensi lain termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Puspakom untuk menyiasat sama ada pembabitan dalam dari agensi terbabit bersama sindiket.

“Saya menasihatkan jika ada yang menawarkan untuk membeli lori pada harga murah supaya tidak terpedaya dan melaporkan kepada polis,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN