Sijil vaksinasi Selangkah satu pengiktirafan - Utusan Malaysia

Sijil vaksinasi Selangkah satu pengiktirafan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Keputusan membenarkan penggunaan sijil vaksinasi Selangkah dianggap pengiktirafan terhadap inisiatif Kerajaan Negeri Selangor bagi menangani pandemik Covid-19. 

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, pihaknya menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan membenarkan penggunaan sijil itu bagi penerima di bawah program Vaksinasi Selangor (SelVax). 

“Kerajaan negeri menyambut baik kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam sidang media beliau yang bersetuju mengenai perkara berkenaan.

“Keputusan itu dilihat suatu bentuk pengiktirafan terhadap inisiatif yang dilaksanakan Selangor bagi melengkapi usaha Kerajaan Persekutuan memerangi Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, jelas beliau, rakyat Selangor yang belum menerima sijil vaksinasi digital MySejahtera kini boleh menggunakan sijil vaksinasi dalam aplikasi Selangkah.

“Sijil itu boleh digunakan sebagai dokumen pengesahan bagi keperluan aktiviti harian mereka,” ujarnya. 

Kelmarin, Siti Mariah memaklumkan kerajaan negeri sudah memohon kepada Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) supaya penerima vaksin di bawah (SelVax) diberi kebenaran menggunakan sijil vaksinasi digital Selangkah buat sementara waktu.

Langkah itu dilakukan susulan aduan dikemukakan sebahagian penerima yang masih belum memperoleh sijil vaksin digital di aplikasi MySejahtera.

Selangkah setakat ini sudah menghantar sejumlah 159,919 rekod penerima yang lengkap dua dos vaksin SelVax kepada pasukan MySejahtera.

Sehubungan itu, Khairy semalam memberi tempoh seminggu kepada pasukan aplikasi MySejahtera untuk menyelesaikan kes penerima tidak mempunyai sijil digital, biarpun telah lengkap dos vaksin Covid-19.

Sementara isu itu diselesaikan, golongan berkenaan dibenarkan menggunakan kad fizikal dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) buat sementara waktu sebagai bukti penerimaan vaksin.

Selain itu, penerima vaksin di bawah Selvax yang lengkap dua dos dibenarkan menggunakan aplikasi Selangkah sebagai bukti. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN