Kenaikan harga diesel jejas sektor pertanian di Pulau Pinang

Kenaikan harga diesel jejas sektor pertanian di Pulau Pinang

PENGGUNAAN teknologi pertanian seperti dron perlu dimanfaatkan sepenuhnya boleh membantu mengoptimumkan penggunaan input serta mengurangkan kos operasi susulan kenaikan harga diesel.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kenaikan harga bahan api khususnya diesel ketika ini memberi kesan yang signifikan terhadap sektor pertanian di Pulau Pinang khususnya di kawasan Seberang Perai yang mengamalkan sistem pertanian moden berasaskan mekanisasi.

Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Mohd. Muhaimin Ibrahim berkata, menerusi sistem ini, sebahagian besar daripada operasi ladang bergantung sepenuhnya kepada penggunaan jentera seperti traktor, mesin penanam dan jentera penuaian yang menggunakan diesel sebagai sumber tenaga utama.

MOHD. MUHAIMIN IBRAHIM

“Bagi sektor tanaman padi iaitu pada peringkat penyediaan tanah, aktiviti membajak dan merotor menggunakan traktor sahaja memerlukan penggunaan diesel sekitar 15 hingga 25 liter bagi setiap relung (1.322 ekar / 0.535 hektar).

“Walaupun kadar upah membajak masih berada dalam lingkungan RM100 hingga RM120 per relong, kenaikan harga diesel melebihi 40 peratus telah meningkatkan kos sebenar operasi jentera.

“Ini menyebabkan kontraktor jentera menanggung kos tambahan bahan api dan mengurangkan margin keuntungan, serta berpotensi membawa kepada kenaikan kadar upah pada masa hadapan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Mengulas lanjut, Mohd. Muhaimin berkata, penggunaan pam air berasaskan diesel bagi tujuan pengairan sawah turut meningkatkan kos operasi iaitu daripada sekitar RM30 kepada RM50 sehari dan berisiko menyebabkan berlakunya pengurangan tempoh pengairan dan menjejaskan pertumbuhan padi, terutamanya pada peringkat vegetatif.

“Bagi tanaman sayur-sayuran seperti cili, sawi dan bayam yang memerlukan pengairan yang kerap pula, peningkatan kos bahan api boleh menyebabkan petani mengurangkan kekerapan siraman, sekali gus menjejaskan hasil dan kualiti tanaman.

“Begitu juga dengan tanaman buah-buahan seperti durian, rambutan dan mangga. Kos pengurusan kebun termasuk pembajaan, semburan racun serta pengangkutan hasil turut meningkat di samping risiko penurunan hasil sekiranya pengurusan tidak dapat dilaksanakan secara optimum,” katanya.

Jelas beliau, kenaikan harga diesel juga memberi kesan tidak langsung terhadap peningkatan harga input pertanian seperti baja dan racun akibat kos pengangkutan dan logistik.

“Secara keseluruhannya, kos pengeluaran bagi sektor tanaman telah meningkat dengan ketara, termasuk kos pengeluaran padi yang kini melebihi RM3,000 bagi setiap hektar,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau melihat penggunaan teknologi pertanian seperti dron dan sistem pertanian pintar perlu dimanfaatkan sepenuhnya boleh membantu mengoptimumkan penggunaan input serta mengurangkan kos operasi.

“Kerajaan juga disaran memperluaskan bantuan subsidi diesel secara bersasar kepada petani, meningkatkan insentif pengeluaran untuk mereka serta menyediakan perkhidmatan jentera secara berpusat untuk mengurangkan kos secara individu.

“Pada masa yang sama, petani juga digalakkan untuk mengamalkan pengurusan input yang lebih cekap seperti pembajaan berasaskan keperluan tanah serta penggunaan teknik penjimatan air bagi mengurangkan impak susulan peningkatan harga diesel ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN