[SIDANG DUN SABAH] Jejaki PATI di Sabah melalui data PPV - Utusan Malaysia

[SIDANG DUN SABAH] Jejaki PATI di Sabah melalui data PPV

EWON BENEDICK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri digesa menyatakan pendirian secara jelas mengenai tindakan kerajaan bagi menangani isu kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.

Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata, kerajaan negeri perlu lebih tegas dan telus mengenai data-data melibatkan PATI yang telah diberikan vaksin di Sabah.

Beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan seterusnya mengenai data-data PATI yang diperoleh melalui Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Kerajaan negeri tidak boleh membiarkan masalah kebanjiran pendatang asing dan bukan warganegara di Sabah begitu sahaja.

“Data-data (PATI) telah diperoleh melalui PPV maka, kita mahu tahu apakah rancangan dan tindakan kerajaan yang seterusnya selepas memperoleh data ini kerana ia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

“Adakah kerajaan akan menggunakan data-data ini untuk menjejaki mereka dan mengenakan tindakan perundangan imigresen yang berkaitan termasuk untuk penghantaran balik atau adakah rancangan dan tindakan lain selepas ini?.

“Jika dibiarkan senyap begitu sahaja, ia akan mengwujudkan persepsi bahawa rancangan memberikan kad pengenalan kepada penerima vaksin yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri akan diteruskan seperti dinyatakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ismail Mohamed Said dalam Parlimen baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian ini berkata, rakyat Sabah menyuarakan kebimbangan, kemarahan dan kekeliruan berikutan rancangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mempertimbangkan memberi kad pengenalan atau kewarganegaraan kepada penerima vaksin di Sabah dan Sarawak yang belum mempunyai kad pengenalan diri, apatah lagi PPV di Sabah juga melibatkan penduduk bukan warganegara.

“Saya menghargai jawapan lisan Ketua Menteri mengenai perkara ini di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini bahawa kerajaan tidak bercadang memberikan kad pengenalan atau kewarganegaraan kepada pendatang asing atau bukan warganegara yang telah diberikan vaksin, tetapi hanya kepada penduduk asal yang belum mempunyai kad pengenalan.

“Saya mahu kerajaan bertegas dan harus lebih telus mengenai perkara ini. Kita sudah 58 tahun menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia tetapi seolah-seolah masih wujud ribuan penduduk asal yang belum ada dokumen atau kad pengenalan?.

“Apa tindakan yang boleh dilakukan untuk memastikan orang asal mendapat dokumen dan kad pengenalan? Saya bimbang keadaan ini akan membuka ruang kepada manipulasi dan salah guna kuasa dalam proses pemberian kad pengenalan tersebut,” katanya.

Ewon berkata, pemberian kad pengenalan kepada PATI telah dibuktikan dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) melalui petisyen pilihan raya DUN Likas pada tahun 1999.

Justeru, beliau berharap kerajaan negeri akan lebih bertegas dan telus mengenai isu PATI kerana ia adalah satu isu besar di Sabah dan memerlukan penyelesaian serta tindakan konkrit daripada kerajaan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya