Setengah tahun tunggu jambatan runtuh dibaik pulih

Setengah tahun tunggu jambatan runtuh dibaik pulih

WAKIL penduduk dan peniaga melihat keadaan jambatan yang runtuh dan belum dibaiki sejak enam bulan lalu di Taman Shahzan di Kuantan, Pahang. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Enam bulan berlalu, namun runtuhan jambatan di Lorong Indera Mahkota 19, Taman Shahzan di sini yang dahulunya menjadi penghubung utama penduduk, masih kekal tidak berubah sekali gus me­ngundang keresahan mereka yang terpaksa berdepan pelbagai kesulitan setiap hari.

Selain menjejaskan pernia­gaan penduduk setempat, ke­rosakan itu turut menyebabkan kesesakan di laluan kedua yang kini menjadi satu-satunya pilihan pengguna untuk keluar masuk ke kawasan perumahan terbabit.

Seorang penduduk, Mohd. Azeli Mohamad, 50, memberi­tahu, jambatan berkenaan run­tuh selepas berlaku mendapan tanah akibat hujan lebat pada November tahun lalu menyebabkan laluan itu kini ditutup untuk semua kenderaan.

“Pada mulanya, penduduk mengesan ada lubang di tengah jambatan dan apabila diperiksa struktur bawah jambatan ber­kenaan terhakis akibat arus deras sungai.

“Aduan sudah dibuat kepada pihak berwajib dan kerja-kerja baik pulih segera dilakukan namun belum pun siap kerja baik pulih itu, sebahagian lagi jambatan telah runtuh. Kerja baik pulih berkenaan telah dihentikan namun sehingga kini tidak disambung semula,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Mohd. Azeli yang juga Ahli Jawatankuasa Keselamatan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) taman terbabit berkata, pihak­nya sebelum ini dimaklumkan kerja baik pulih akan dilaksanakan bermula Mei lalu namun sehingga kini belum nampak pro­ses kerja berkaitan dilakukan.

“Penduduk di taman ini yang dianggarkan sekitar 700 rumah kini mula merungut kerana kami terpaksa menggunakan satu laluan sahaja untuk keluar masuk menyebabkan kesesakan terutama pada waktu puncak iaitu pagi dan petang.

“Memang ada satu lagi laluan iaitu melalui Kampung Tiram namun jaraknya agak jauh dan jalan yang agak sempit,” katanya.

Sementara itu, seorang pe­niaga warung, Zunaidi Mohd. Nor, 54, berkata, penutupan jambatan berkenaan menjejaskan perniagaannya yang berharap kepada orang ramai yang melalui laluan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN