PUTRAJAYA: Menjelang persidangan Dewan Rakyat pada 13 September ini, Tan Sri Dr. Rais Yatim sekali lagi menyarankan agar institusi Parlimen dapat ditransformasikan.
Yang Dipertua Dewan Negara itu bahkan berpendapat, Akta Kuasa dan Keistimewaan Parlimen 1952 yang wujud sebelum negara mencapai kemerdekaan sepatutnya telah dipinda.
“Secara peribadi, saya berasa sangat aib apabila Parlimen tidak bebas malah sebagai badan legislatif, isu perjawatan dan peruntukan kewangan pun dikawal oleh pihak luar,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah di Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, hari ini.
Kelmarin, beliau ditemui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bagi membincangkan isu tersebut secara teliti yang turut dihadiri Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia, Nor Yahati Awang sebagai persiapan sebelum persidangan bermula.
Mengulas lanjut, Rais berkata, hasil pertemuan khas tersebut, mereka bersetuju mewujudkan Jawatankuasa Khas Bersama untuk usaha mentransformasikan Parlimen yang lebih bebas.
“Ketika ini isu melibatkan petugas Parlimen masih di bawah pengurusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) manakala dari segi kewangan, urusan ini dikawal Perbendaharaan,” katanya.
Justeru, ujar beliau, Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 wajar dipinda terlebih dahulu bagi memberikan autonomi penuh kepada institusi berkenaan untuk dapat beroperasi tanpa terikat lagi termasuk pelantikan, kenaikan pangkat dan penamatan staf selain belanjawan Parlimen boleh diputuskan berdikari, sekali gus menggambarkan institusi itu benar-benar berasingan.
Dalam nada kecewa, beliau berkata, selama ini Parlimen tidak boleh berbuat apa-apa sesuka hati dan ini termasuk soal pengawalan disiplin wakil rakyat ketika berbahas amat keterlaluan.
“Waktu ini nama sahaja pengasingan kuasa daripada cabang eksekutif dan kehakiman, walhal perjalanan Parlimen pun masih kena ikut arahan JPA dan Kementerian Kewangan,” katanya.
Dalam nada optimis, beliau yakin apabila ia betul-betul bebas, ketertiban perangai ahli-ahli Parlimen yang ada ketika dianggapnya sebagai jelik, ganas dan kasar, akan dapat ditambah baik.
Beliau memberi contoh tindakan tegas boleh dikenakan ke atas wakil rakyat yang kurang ajar, mencarut dan berbahasa tidak sopan untuk memelihara martabat kemuliaan tinggi Parlimen.
Pada masa sama, beliau berharap transformasi Parlimen akan menerapkan budaya murni tinggi yang bebas daripada gejala rasuah dalam kalangan ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara. – UTUSAN ONLINE










