fbpx

Saman fitnah Husam terhadap Masri kekal

HUSAM MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan saman fitnah bekas Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Husam Musa terhadap seorang bekas pengetua sekolah agama di Kelantan.

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Suraya Othman yang bersidang bersama Datuk Mohd. Sofian Abd. Razak dan Datuk Lee Heng Cheong selepas menolak rayuan Masri Che Yusoff dengan kos RM15,000.

Mahkamah berpuas hati bahawa rayuan tersebut tiada merit kerana Mahkamah Tinggi telah mencapai dapatan yang betul ketika membenarkan saman fitnah yang difailkan oleh Husam.

Panel itu bagaimanapun tidak mendengar rayuan berhubung jumlah ganti rugi yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Ketika membacakan keputusan tersebut, Hakim Suraya menyatakan, isu yang dibangkitkan oleh perayu di hadapan panel itu adalah hakim bicara tidak membuat dapatan yang spesifik berhubung kenyataan fitnah.

Bagaimanapun, ujar beliau, panel itu berpuas hati bahawa hakim bicara telah membuat dapatan berhubung kenyataan memfitnah seperti yang digariskan dalam beberapa perenggan yang terkandung dalam alasan penghakimannya.

Menurut Hakim Suraya, hakim bicara menyatakan kenyataan itu bermaksud bahawa Husam (plaintif) mempunyai kepentingan peribadi terhadap tiga lot tanah dan telah melakukan penyelewengan, pecah amanah dan menyalahgunakan kedudukannya sebagai Exco Kelantan.

Mahkamah turut berpuas hati, hakim bicara telah menilai keterangan saksi-saksi semasa perbicaraan dan berpendapat Masri selaku defendan gagal membuktikan pembelaan berhubung justifikasi.

Panel itu berpendapat, ini kerana berdasarkan dapatan hakim bicara, defendan gagal membuktikan Husam mempunyai kaitan dengan Akademi Pembangunan Keluarga Berhad (APKB) dan mendapat faedah daripadanya.

Berhubung isu perlindungan bersyarat dan komen yang adil, mahkamah berpuas hati hakim bicara telah menyatakan dalam penghakimannya bahawa komen itu tidak dibuat berdasarkan fakta.

Sebaliknya, komen itu dibuat berdasarkan niat yang tidak benar kerana kenyataan itu pada dasarnya merupakan satu tuduhan, bukan permohonan untuk meminta penjelasan.

Pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian, Masri diwakili oleh peguam-peguam Yusfarizal Yussoff dan Mohd. Faizi Che Abu manakala Faiz fadzil dan Faizal Abdullah mewakili Husam.

Masri merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 26 Jun 2018 yang membenarkan tuntutan saman Husam terhadapnya susulan satu tulisan berunsur fitnah dalam laman Facebook miliknya pada 27 Oktober 2015.

Perayu ketika itu merupakan ahli jawatan kuasa Pas Ketereh dan anggota Dewan Ulama Pas Kelantan.

Mahkamah Tinggi berpuas hati plaintif berjaya membuktikan elemen fitnah dan memerintahkan jumlah ganti rugi ditaksir di hadapan timbalan pendaftar.

Pada 10 Februari lalu, Mahkamah Tinggi berlainan mengetepikan taksiran ganti rugi RM50,000 yang ditetapkan pada November 2019 dan menetapkan kuantum baharu sebanyak RM150,000 selepas membenarkan rayuan Husam.- UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI