KUALA LUMPUR : Penyair dan penulis mempunyai tanggungjawab yang besar sebagai penghasil karya yang memelihara nurani masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, bait-bait puisi berisi kebenaran yang tidak mampu dijelaskan oleh pidato yang panjang.
“Puisi yang baik bukan sekadar rangkaian kata yang indah bunyinya. Puisi yang baik ialah cermin jiwa zaman. Ia merakam kegelisahan manusia, menyuarakan harapan, menegur dengan santun dan membimbing dengan hikmah,” katanya..
Beliau menyatakan demikian dalam program anjuran Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) dalam program Malam Baca Puisi Pena- Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 anjuran persatuan berkenaan yang bertemakan Kata Puisi adalah Cinta di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur malam tadi.
Acara yang dianjurkan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Kementerian Pendidikan dan Perbadanan Kota Buku (PKB) itu bertemakan Kata Puisi adalah Cinta.

Zulkifli berkata, peradaban Islam berkembang bukan sekadar dengan pedang dan kuasa tetapi dengan pena, tinta dan ilmu.
“Dalam tradisi Islam, kata-kata mempunyai kedudukan yang sangat mulia. Wahyu pertama yang diturunkan ialah perintah membaca. Maka tidak hairanlah apabila para ulama, pujangga dan cendekiawan sepanjang sejarah memilih tulisan dan puisi sebagai wahana untuk menyampaikan hikmah kepada masyarakat,” tambahnya.
Mengulas fungsi PENA sebagai sebuah persatuan penulis, beliau berkata, PENA ialah rumah fikir para pengarang, medan pertemuan para intelektual dan benteng yang sekian lama mempertahankan maruah bahasa serta kesusasteraan Melayu.
“Dalam arus zaman yang sentiasa berubah, PENA terus berdiri sebagai pohon rendang yang menaungi tradisi ilmu, kreativiti dan pemikiran bangsa. Ketika dunia semakin bising dengan ledakan maklumat dan kecanggihan teknologi, PENA tetap mengingatkan kita bahawa kemajuan yang sebenar bukan hanya diukur melalui kecerdasan mesin tetapi juga melalui kehalusan budi dan kebijaksanaan insan.
“Bahasa yang dipelihara dengan cinta akan melahirkan bangsa yang bermaruah. Sastera yang disuburkan dengan ilmu akan melahirkan masyarakat yang berjiwa besar,” ujarnya.
Zulkifli turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada PENA atas pengiktirafan yang diterima pada tahun ini melalui dana sebanyak RM1 juta bagi menjayakan projek penerbitan PENA MADANI.
“Saya melihat peruntukan ini bukan sekadar sokongan kewangan, tetapi suatu amanah besar untuk terus mengembangkan khazanah ilmu dan persuratan negara.
“Amanah untuk melahirkan karya-karya yang bukan sahaja indah pada bahasa, tetapi juga luhur pada makna; karya yang bukan sahaja dibaca, tetapi direnung, bukan sahaja menghiburkan, tetapi mendidik dan memanusiakan.
“Kita percaya bahawa sebuah bangsa tidak dibina hanya dengan bangunan yang tinggi, tetapi dengan pemikiran yang tinggi. Dan pemikiran yang tinggi lahir daripada tradisi membaca, menulis dan berwacana yang hidup dalam masyarakat,” ujar beliau lagi.
Dalam majlis tersebut beliau turut membaca sebuah puisi berjudul Wida’ karya Allahyarham Prof. Datuk Dr. Siddiq Fadzil.

Selain beliau turut mendeklamasi puisi Presiden Pena, Dr Mohamad Saleeh Rahamad dan Pengerusi Pengelola PBAKL 2026 Mohd. Khair Ngadiron, Zaen Kasturi, Marsli N.O, Naqiuddin Ariffin dan penyampai Sinar FM, Elly Ariffin.
Turut dipersembahkan dendangan lagu puisi oleh Farrah Nabila, Ahmad Ramli dan Adiwangsa Sukma.
Yang turut hadir pada acara itu ialah Presiden GAPENA, Datuk Zainal Abidin Borhan; Ketua Penolong Pengarah Urus Setia Tetap MBKM, Wan Salahudin Wan Abdullah; Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP Roziah Md. Yunus yang mewakili Ketua Pengarah DBP dan Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kota Buku, Adibah Omar. –UTUSAN









