KOTA KINABALU: Peruntukan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) harus diserahkan kepada negeri untuk diselaraskan oleh jabatan dan agensi kerajaan berkaitan bagi melancarkan proses pelaksanaannya.
Itu cadangan yang dikemukakan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau berkata, jabatan dan agensi kerajaan di peringkat negeri lebih memahami demografi Sabah serta keutamaan dan keperluan rakyat di peringkat akar umbi.
Katanya, sekiranya perkara itu sukar dilaksanakan, satu jawatankuasa pemantauan bersama antara kerajaan Pusat dan negeri perlu diwujudkan untuk memastikan pelan pelaksanaan infrastrutur dapat mencapai sasaran dan memenuhi aspirasi rakyat di Sabah.
Walau bagaimanapun, beliau menyifatkan RMK-12 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam merupakan komitmen kerajaan untuk merapatkan jurang pembangunan antara Sabah, Sarawak dengan Semenanjung Malaysia.
“Peruntukan RM9.13 bilion iaitu RM4.66 bilion untuk Sabah dan RM4.47 Biilion untuk Sarawak adalah selaras dengan semangat Keluarga Malaysia bagi mengurangkan jurang pembangunan agar rakyat Sabah dan Sarawak dapat menikmati pembangunan secara saksama.
“Sebagai ahli Parlimen dari Sabah sudah tentu saya mengalu-alukan RMK-12 yang secara jelas memberi fokus kepada Sabah dan Sarawak dari setiap sudut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Kinabatangan ini berharap pelaksanaan RMK-12 khususnya di Sabah akan berjalan lancar tanpa sebarang masalah mahupun karenah birokrasi yang boleh membantutkan pelaksanaan RMK-12.
Bung Moktar, yang juga Menteri Kerja Raya ini meminta agar agensi pelaksana dapat mengambil kira situasi di Sabah daripada perspektif yang berbeza berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung.
“Kita sudah mempunyai pelan yang baik di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 untuk rakyat Sabah tetapi strategi pelaksanaan peringkat akar umbi melalui agensi pelaksana perlu diperincikan lagi” katanya.
Mengulas lanjut katanya, beliau menyambut baik usaha kerajaan untuk mentransformasi kawasan luar bandar dengan membina dan menarik taraf 2,800 km jalan berturap di Sabah. Ia termasuk Jalan Dudar Ke Taburan Ke Mendawang, Kota Belud dengan kos sebanyak RM101 juta.
Penaiktarafan ini akan membolehkan sistem perhubungan jalan raya di Sabah menjadi lebih baik dan sekaligus membantu merapatkan jurang pendapatan antara luar bandar dan bandar.
Bung Moktar berkata, biarpun RMK-12 tidak menyentuh peruntukan bagi projek Lebuh Raya Pan Borneo khususnya di Sabah, kerajaan negeri masih berharap agar cadangan melaksanakan projek ini secara Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) diberi pertimbangan sewajarnya.
Usaha itu akan membantu mempercepatkan lagi proses tranformasi luar bandar di Sabah sekaligus dapat melonjakkan taraf sosioekonomi rakyat.- UTUSAN ONLINE