IPT jadi lubuk rasuah

IPT jadi lubuk rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Institusi pengajian tinggi (IPT) yang sepatutnya menjadi pemangkin pembinaan integriti kini menjadi ‘lubuk rasuah’ apabila gejalanya menular secara senyap dalam ekosistem pendidikan negara.

Lebih membimbangkan, perbuatan itu bukan sahaja melibatkan urusan pentadbiran dan kewangan, malah turut meresap dalam aspek akademik seperti pemberian markah, kelulusan kursus dan peluang penyelidikan sehingga mencemarkan nilai sebenar ilmu.

Selain itu, geran yang diberikan kepada pensyarah untuk pelaksanaan sesuatu projek atau kajian penyelidikan juga disalah guna.

Fenomena itu bukan lagi sekadar persepsi. Beberapa kes yang dilaporkan sebelum ini membuktikan wujudnya elemen rasuah dalam kalangan warga akademik.

Pada 2022, seorang bekas pensyarah sebuah IPT swasta didenda RM10,000 selepas didapati menerima rasuah kira-kira RM1,300 bagi memastikan lima pelajarnya lulus dalam satu subjek.

Tahun sebelumnya, seorang pensyarah ditahan kerana meminta dan menerima wang rasuah sekitar RM300 daripada setiap pelajar untuk mengubah keputusan peperiksaan mereka daripada gagal kepada lulus.

Kes lebih besar turut melibatkan salah guna kuasa apabila seorang pensyarah universiti awam bersama ahli keluarganya dipenjara selepas meluluskan kontrak kepada syarikat milik sendiri, manakala terdapat juga kes pensyarah kanan didakwa mengemukakan tuntutan palsu melibatkan puluhan ribu ringgit bagi tujuan penyelidikan.

Dalam satu lagi kes berprofil tinggi, pensyarah dan pihak berkaitan disiasat kerana mengemukakan dokumen palsu bagi mendapatkan pembiayaan sehingga mencecah jutaan ringgit.

Terbaharu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka dua kertas siasatan terhadap Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berhubung isu tatakelola dan ketidakaturan pengurusan kewangan susulan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026.

Dua isu utama dikenal pasti iaitu berkaitan program pengambilan pelajar melalui koperasi yang tidak mendapat kelulusan ahli Lembaga Pengarah, selain isu tuntutan palsu oleh ejen-ejen pengambilan pelajar berdaftar.

Rasuah dalam IPT bukan sekadar pelanggaran undang-undang tetapi pengkhianatan terhadap nilai pendidikan.

Apabila markah boleh ‘dibeli’, sistem meritokrasi runtuh. Graduan yang lahir bukan lagi berasaskan kemampuan, sebaliknya hasil manipulasi. Kesannya, pasaran kerja bakal dipenuhi tenaga kerja yang tidak kompeten, sekali gus menjejaskan produktiviti negara.

Lebih parah, pelajar sendiri mula melihat rasuah sebagai jalan pintas. Budaya ‘mahu cepat dan mudah’ mendorong segelintir mereka menawarkan imbuhan kepada pensyarah demi kelulusan tanpa usaha sebenar.

Jika dibiarkan, budaya ini akan terbawa-bawa ke alam pekerjaan, melahirkan generasi yang menganggap rasuah sebagai norma.

Selain kes jelas melibatkan wang, wujud juga bentuk rasuah yang lebih terselindung. Penggunaan ‘orang dalam’, pemberian hadiah melampau, atau pertukaran kepentingan tertentu.

Amalan ini sering dianggap remeh, namun hakikatnya tetap melanggar prinsip integriti. Dalam banyak keadaan, ia menjadi pintu masuk kepada rasuah yang lebih besar.

Lebih membimbangkan, wujud persepsi bahawa perbuatan itu sukar dikesan kerana berlaku dalam ruang tertutup bilik kuliah atau proses penilaian yang kurang telus.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pemberian autonomi kepada universiti adalah bertujuan mempercepatkan tadbir urus dan meningkatkan kecekapan.

Katanya, namun, tanpa mekanisme pemantauan yang kukuh, ia membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa.

“Kelemahan pengawasan dalaman, kekurangan audit bebas serta budaya ‘melindungi institusi’ menyebabkan kes rasuah sukar dibongkar pada peringkat awal.

“Dalam banyak kes, tindakan hanya diambil selepas laporan dibuat kepada SPRM, menunjukkan sistem dalaman masih belum cukup ampuh untuk mencegah gejala ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jais berkata, lebih menyedihkan apabila individu yang sepatutnya menjadi contoh seperti pensyarah dan ahli akademik turut terpalit dengan rasuah.

Katanya, peranan mereka bukan sekadar menyampaikan ilmu tetapi membentuk nilai dan etika pelajar.

Ujarnya, apabila garis merah dilanggar, kepercayaan terhadap institusi pendidikan turut runtuh.

“Dalam jangka panjang, ia memberi kesan besar kepada reputasi IPT tempatan di peringkat antarabangsa. Rasuah di IPT bukan isu kecil. Ia adalah benih kepada masalah lebih besar dalam masyarakat.

“Apabila pelajar didedahkan dengan amalan tidak berintegriti sejak di kampus, mereka cenderung membawa sikap tersebut ke sektor pekerjaan sama ada dalam perkhidmatan awam mahupun swasta.

“Akhirnya, negara berdepan risiko melahirkan generasi profesional yang rapuh nilai integriti,” katanya.

Jais berkata, pendekatan menyeluruh perlu dilaksanakan termasuk memperkukuh audit dalaman, memperkenalkan sistem penilaian lebih telus serta menyediakan saluran aduan selamat kepada pelapor (whistleblower).

Katanya, pendidikan integriti perlu diperkasa dalam kalangan pelajar dan warga akademik agar nilai amanah tidak sekadar diajar tetapi diamalkan.

“Penguatkuasaan undang-undang juga perlu lebih tegas bagi memastikan setiap pelaku menerima hukuman setimpal, sekali gus menjadi pengajaran kepada pihak lain.

“Menara ilmu tidak seharusnya menjadi tempat suburnya rasuah. Jika barah ini tidak dibendung segera, ia bukan sahaja merosakkan sistem pendidikan, malah mengancam masa depan negara.

“Integriti tidak boleh dikompromi, lebih-lebih lagi di tempat yang sepatutnya melahirkan generasi berilmu dan berakhlak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN