Pusat Pemeriksaan Kesihatan Covid-19 peribadi di KLIA - Utusan Malaysia

Pusat Pemeriksaan Kesihatan Covid-19 peribadi di KLIA

Caption: KHAIRY Jamaluddin melawat proses wajib bagi pelancong yang tiba dari luar negara di KLIA, Sepang. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Penumpang Antarabangsa yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) boleh menjalani kemudahan pemeriksaan Covid-19 peribadi yang menjanjikan prosedur ujian yang mudah, cekap serta selamat.

Pengerusi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kemudahan baharu itu bertujuan memastikan standard perkhidmatan tertinggi dikekalkan memenuhi pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) perjalanan baharu. 

“Mengaktifkan kemudahan baharu ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami sambil mengambil langkah keselamatan bertujuan membendung penyebaran virus Covid-19.

“Kami berharap dapat mengembalikan semula keyakinan penumpang yang terbang melalui lapangan terbang kami dengan meningkatkan tahap keselesaan dan kemudahan sepanjang perjalanan mereka,” katanya pada lawatan bersama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin di Pusat Pemeriksaan Kesihatan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menjalankan perkhidmatan bersama BP Laboratorium Klinikal, penyedia penjagaan kesihatan perubatan kelas atas untuk menjalankan Pusat Pemeriksaan Kesihatan Covid-19 ini yang mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). 

Zambry berkata, pusat ini dapat menampung sekitar 45,000 penumpang setiap hari di kedua-dua terminal dan mereka mempunyai pilihan untuk menggunakan perkhidmatan ini. 

“Kos bayaran bagi setiap penumpang bagi perkhidmatan ini adalah antara RM90 hingga RM370 untuk rakyat Malaysia dan RM120 hingga RM470 untuk orang asing,” katanya.

Jelas beliau, pusat ini sudah pun mula beroperasi semalam dan menyediakan ujian pengesanan Covid-19 RTK Antigen dan RT-PCR dalam masa antara 15 minit, satu jam dan tiga dan tempoh masa menunggu akan menjadi lebih pendek.

“Kemudahan ujian ini terdapat di lima lokasi di Terminal Utama KLIA dan tiga di KLIA2. Lapan lokasi akan mula beroperasi secara berperingkat dengan pertama bermula di pintu G1, KLIA Terminal Utama.

“Semua lokasi mempunyai ruang rehat yang selesa untuk penumpang berehat sementara menunggu keputusan ujian mereka,” katanya. 

Menurutnya, dengan gelembung perjalanan domestik Langkawi yang baru dilaksanakan kerajaan minggu lalu, pihaknya menantikan peningkatan perjalanan antarabangsa dalam masa terdekat. 

“Kemudahan penyaringan Covid-19 peribadi ini pasti memudahkan amalan perjalanan yang selamat untuk jumlah penumpang yang lebih tinggi apabila perjalanan penerbangan dibuka semula,” katanya.-UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN