Polis Perak kekalkan 58 SJR, fokus kawalan sempadan negeri

Polis Perak kekalkan 58 SJR, fokus kawalan sempadan negeri

MIOR Faridalathrash Wahid (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Inspektor Tie Ngie Sieng di IPD Hilir Perak, Teluk Intan, hari ini. - FOTO/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Polis Perak mengekalkan sekatan jalan raya (SJR) sedia ada di semua daerah di negeri ini dengan fokus kawalan di sempadan keluar dan masuk ke Perak.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, setakat ini tiada sebarang keputusan untuk menutup kesemua 58 SJR kerana Perak masih berada dalam Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) di mana pergerakan rentas daerah dan negeri masih tidak dibenarkan.

“Kegiatan rentas daerah hanya kepada mereka yang telah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 dan ketika ini di Perak, kita masih belum sampai ke satu peringkat yang memuaskan (lengkap dua dos).

“Jadi, apabila melalui SJR, kita perlu periksa kesahihan untuk memastikan betul atau tidak mereka telah lengkap divaksin.

“Oleh itu, kesemua 58 SJR di negeri ini akan dikekalkan terutama di kawasan bersempadan negeri lain iaitu Pahang, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Selangor sehinggalah satu keputusan lain dibuat oleh pihak kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini hari ini.

Mior Faridalathrash turut menyampaikan sijil penghargaan daripada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain kepada Inspektor Tie Ngie Sieng atas komitmen dalam tugas penyiasatan dan prestasi cemerlang mencapai kadar pertuduhan yang memuaskan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengulas mengenai pematuhan dan jumlah pengunjung ke lokasi rekreasi dan riadah di negeri ini, Mior Faridalathrash memberitahu, keadaan di Perak masih terkawal dengan kadar pematuhan orang ramai ke atas prosedur operasi standard (SOP) berada pada tahap yang baik dan memuaskan.

Menurut beliau, sekiranya terdapat aduan berkaitan pelanggaran SOP, pasukan pemantau pematuhan SOP akan menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

Katanya, pasukan pemantau juga masih mengeluarkan kompaun harian antara 25 hingga 30 kes sehari membabitkan pelbagai kesalahan pelanggaran SOP. 

“Kalau kita tengok di media sosial, beberapa lokasi di ibu negara menjadi tumpuan ramai tetapi di Perak, keadaannya masih terkawal.

“Apa yang penting, walaupun kerajaan membenarkan aktiviti pelancongan, kita mohon kerjasama orang ramai khususnya di Perak agar mematuhi SOP yang ditetapkan supaya kita dapat kawal penularan jangkitan Covid-19,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN