KYIV: Russia melancarkan serangan udara terbesar dalam tempoh dua hari sejak perang di Ukraine bermula, dengan ibu negara Kyiv dan beberapa bandar lain dihujani ratusan dron.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy berkata, Russia melancarkan sebanyak 1,567 dron dan 56 peluru berpandu sejak awal Rabu.
Sekurang-kurangnya 27 orang awam terbunuh sepanjang tempoh dua hari itu, menurut pihak berkuasa.
Presiden Russia, Vladimir Putin pada Sabtu lalu berkata, perang yang telah mengorbankan ratusan ribu nyawa dan memusnahkan sebahagian besar wilayah Ukraine selama lebih empat tahun itu ‘semakin menghampiri penghujungnya’.
Namun Zelensky menegaskan tindakan terbaharu yang dilakukan Russia memberi bayangan sebaliknya.
“Ini jelas bukan tindakan pihak yang percaya perang ini sedang menuju penghujung. Adalah penting bagi rakan-rakan antarabangsa tidak berdiam diri terhadap serangan ini. Sama penting untuk terus menyokong perlindungan ruang udara kami,” katanya.
Katanya, Kyiv menjadi sasaran utama serangan semalaman itu. Menurut Perkhidmatan Kecemasan Negara Ukraine, sekurang-kurangnya 21 orang, termasuk tiga kanak-kanak, terbunuh di ibu negara itu, manakala Datuk Bandar Kyiv, Vitali Klitschko mengumumkan hari berkabung pada Jumaat.
Dalam kenyataan selepas tengah malam, perkhidmatan kecemasan berkata, operasi menyelamat diteruskan sepanjang masa. Tiada komen segera daripada Moscow berhubung serangan Khamis itu.
Rakaman Reuters TV dari Kyiv menunjukkan petugas kecemasan bergerak berhati-hati di celah timbunan runtuhan dan memotong konkrit di sebuah bangunan kediaman sembilan tingkat yang sebahagian strukturnya musnah sepenuhnya.
Dalam ucapan video malamnya, Zelensky berkata, berdasarkan analisis awal, sebuah peluru berpandu Kh-101 buatan Russia yang baru dihasilkan telah menghentam bangunan tersebut.
Beliau menyeru usaha diplomatik diperbaharui bagi menghalang teknologi seperti itu daripada terus berada dalam tangan Russia.
“Ada orang di dalam bangunan itu, kanak-kanak. Apa yang berlaku kepada mereka? Anda perlu faham, seluruh bangunan runtuh.
“Saya terdengar sesuatu terbang berhampiran kemudian bunyi yang amat kuat, dan rumah kami yang bertentangan dengan bangunan itu bergegar dan bergoyang,” kata seorang pesara berusia 74 tahun, Alla Komisarova, kepada Reuters sambil menahan tangisan di lokasi kejadian.
Lebih 1,500 anggota penyelamat dikerahkan di seluruh Ukraine bagi menangani kesan serangan, termasuk hampir 600 anggota di Kyiv.
Zelensky berkata, secara keseluruhan 180 kemudahan rosak di seluruh Ukraine, termasuk lebih 50 bangunan kediaman.
Beliau berkata, sebuah kenderaan milik Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut diserang dron ketika menjalankan misi kemanusiaan di bandar Kherson di selatan negara itu.
Di bandar kedua terbesar Ukraine, Kharkiv, seramai 28 orang termasuk tiga kanak-kanak cedera, manakala infrastruktur awam menjadi sasaran, menurut gabenor wilayah, Oleh Syniehubov.
Kementerian tenaga Ukraine berkata, bekalan elektrik di 11 wilayah terjejas akibat serangan itu. Infrastruktur pelabuhan di wilayah selatan Odesa dan rangkaian kereta api turut menjadi sasaran.
Menteri Luar Ukraine, Andrii Sybiha menegaskan serangan yang dilakukan ketika Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sedang melawat China menunjukkan Russia mahu meneruskan peperangan walaupun terdapat usaha damai oleh Washington.
“Saya yakin pemimpin AS dan China mempunyai pengaruh mencukupi terhadap Moscow untuk memberitahu Putin supaya akhirnya menamatkan perang ini,” tulisnya di platform X.










