PETALING JAYA: Agrobank perkukuh penyampaian bantuan bersasar supaya tiada golongan rentan tercicir daripada jaringan bantuan serta perkhidmatan kewangan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, Agrobank akan terus memperkemas proses, memperluas capaian dan mengurangkan halangan akses untuk membantu golongan itu.
“Fokus kami adalah memastikan bantuan sampai kepada pihak yang tepat, pada masa yang tepat dan melalui proses yang tidak membebankan.
“Agrobank menyambut baik seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan akan terus memperkukuh pelaksanaan bantuan secara bersasar, telus dan berimpak tinggi, khususnya kepada petani, penternak, penjaja, peniaga kecil dan keluarga berpendapatan rendah.
“Agrobank turut melihat penambahbaikan penyampaian bantuan sebagai keutamaan penting bagi memastikan sokongan yang disediakan bukan sahaja mencukupi, malah mudah diakses, cepat diproses dan memberi kesan nyata kepada penerima yang benar-benar memerlukan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Agrobank akan menumpukan pelaksanaan kepada tiga keutamaan bagi mempercepat penyampaian bantuan dan mengurangkan risiko keciciran.
“Antaranya, Agrobank akan mengenal pasti penerima dengan lebih tepat melalui penggunaan data dan kerjasama komuniti setempat
“Selain itu, Agrobank akan mempermudah proses serta mengurangkan birokrasi menerusi aliran kerja yang lebih ringkas
“Ia turut merangkumi memperkukuh bimbingan dan pemantauan melalui program literasi kewangan, khidmat nasihat perniagaan dan tindakan susulan.
“Ini bagi memastikan bantuan digunakan secara berkesan serta memberi manfaat berterusan kepada golongan sasaran,” katanya.
Tengku Ahmad Badlishah berkata, Agrobank turut menyediakan pelbagai produk, perkhidmatan dan inisiatif yang disesuaikan dengan keperluan komuniti agromakanan serta usahawan kecil, antaranya kredit mikro, Agro Halal, Agro Industrial Hire Purchase-/ dan lain-lain.
“Baru-baru ini, Agrobank turut melancarkan Agro Penjaja-i, satu inisiatif yang memberi tumpuan kepada penjaja dan usahawan mikro melalui kemudahan pembiayaan dan keupayaan pendigitalan perniagaan.
“Ia turut merangkumi sokongan pengurusan kewangan bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan secara lebih tersusun dan mampan.
“Agrobank juga akan terus menilai proses perbankan sedia ada agar lebih mudah, cepat, tepat dan telus.
“Penekanan ini selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI memastikan bantuan disediakan memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat, memperkukuh daya tahan komuniti agromakanan dan memastikan golongan rentan tidak tertinggal daripada arus pembangunan sosioekonomi negara,” jelasnya. – UTUSAN










