Polis berkas 7 suspek, lumpuhkan kegiatan proses dan edar dadah sejak tiga bulan lalu - Utusan Malaysia

Polis berkas 7 suspek, lumpuhkan kegiatan proses dan edar dadah sejak tiga bulan lalu

MUSTAFA Kamal Gani Abdullah (kiri) melihat salah satu daripada enam buah kereta yang turut disita dalam empat serbuan berkaitan dadah di SPS, Jumaat lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Gaya hidup mewah seorang penjual gas termasuk mampu menyewa sebuah pangsapuri di Bukit Tambun, di sini pada harga yang mencecah RM1,800 sebulan akhirnya membongkar kepada satu penemuan lain selepas pangsapuri itu diserbu polis, Jumaat lalu.

Selain mengesan kewujudan sebuah makmal memproses dadah di situ yang dipercayai  beroperasi sejak tiga bulan lalu, polis turut menangkap dua  suspek yang dipercayai pekerja kepada dalang berusia 34 tahun itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, ketika ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 7.30 malam itu, kedua-dua suspek tersebut dipercayai sedang memasak atau memproses dadah berkenaan.

Katanya, dalam serbuan sama, polis  merampas sejumlah dadah jenis heroin dan serbuk kafein yang masing-masing dianggarkan seberat 13,580 gram (g) dan 6,950 g dipercayai bernilai RM184,335.

Beliau berkata, turut dirampas dalam serbuan di pangsapuri tersebut adalah sejumlah cecair kimia bersama peralatan memproses dadah.

Pada masa yang sama, katanya, tiga lagi serbuan susulan di sekitar Seberang Perai Selatan (SPS) di sini dan secara keseluruhannya, polis memberkas lima lagi suspek termasuk dalang sindiket berkenaan.

“Kita dapati, dadah yang dirampas ini adalah untuk pasaran di utara Semenanjung. Jika terlepas ke pasaran, ia boleh digunakan oleh seramai 67,900 penagih dadah,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Menurut Mustafa Kamal, ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 24 hingga 51 tahun itu mendapati, kesemua mereka positif dadah selain mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Katanya, kesemua suspek direman tujuh hari bermula Sabtu lalu dan kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau dipenjara seumur hidup selain dikenakan tidak kurang daripada 15 sebatan jika sabit kesalahan.

“Selain itu, tindakan diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 apabila polis turut menyita enam buah kereta, empat barang kemas serta wang dalam akaun yang merupakan aset sindiket yang dianggarkan bernilai RM266,031.38.

“Antara kereta yang disita jenis Mercedes, BMW, Nissan Sentra serta Perodua Myvi manakala barang kemas itu pula terdiri daripada dua utas rantai, sebentuk cincin serta sepasang anting-anting dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk dadah ialah sebanyak RM450,366.38,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya