PICK mula menunjukkan keberkesanan - RECoVaM

PICK mula menunjukkan keberkesanan – RECoVaM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kajian mendedahkan risiko kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kematian bagi pesakit Covid-19 yang lengkap divaksin di negara ini masing-masing berkurangan pada tahap 83 peratus dan 88 peratus.

Menurut The Real World Evaluation of Covid-19 Vaccination Under PICK atau RECoVaM, situasi itu berlaku disebabkan keberkesanan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Data itu diperoleh berdasarkan kajian membabitkan populasi seramai 1,261,270 orang yang dijangkiti Covid-19.

Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal Kementerian Kesihatan (KKM), Dr. Kalaiarasu M. Peariasamy berkata, suntikan vaksin lengkap dapat mengurangkan satu kemasukan ke ICU bagi setiap 67 orang yang dijangkiti.

“Manakala, satu kematian dapat dikurangkan bagi setiap 97 orang dijangkiti. Bagi mereka yang divaksin separa lengkap pula, ia dapat mengurangkan risiko jangkitan hingga 49 peratus ke 53 peratus.

“Bagi jangkitan bergejala pula, mereka yang divaksin separa lengkap mengurangkan risiko hingga 33 ke 37 peratus, manakala yang divaksin lengkap adalah 84 ke 88 peratus,” katanya pada sesi taklimat media secara maya hari ini.

Katanya, data sama menunjukkan, daripada 14,500,984 mereka yang lengkap dos vaksin Covid-19, hanya 953 orang (0.0066 peratus) dimasukkan ke ICU dan 1,445 kematian (0.010 peratus).

Kalaiarasu berkata, kajian RECoVaM mendapati tiga vaksin dalam PICK mempamerkan keberkesanan tinggi mengurangkan kemasukan ICU iaitu bagi vaskin AstraZeneca, pengurangan adalah 60 ke 68 peratus (separa vaksin) dan 91 peratus ke 99 peratus (vaksin lengkap).

“Bagi Pfizer pula 38 ke 45 peratus (separa vaksin) dan 91 ke 94 peratus (vaksin lengkap), manakala Sinovac, 24 ke 31 peratus (separa vaksin) dan 75 ke 79 peratus (vaksin lengkap),” katanya.

Katanya, risiko kematian bagi AstraZeneca mengurangkan 68 ke 74 peratus (separa vaksin), 92 ke 98 peratus (vaksin lengkap); Pfizer, 45 ke 51 peratus (separa vaksin) dan 92 ke 94 peratus (vaksin lengkap) dan Sinovac, 37 ke 42 peratus (separa vaksin), 83 ke 85 peratus (vaksin lengkap),” katanya.

Dalam pada itu, Kalaiarasu berkata, pihaknya mendapati, trend pesakit Covid-19 mulai menurun sejak akhir Ogos lalu ketika negara mencapai 46 peratus populasi lengkap divaksin.

“Manakala, trend kematian pula dikesan menurun sejak pertengahan bulan ini apabila 55 peratus populasi lengkap divaksin,” katanya.

Katanya, data turut mendedahkan, kira-kira 84 peratus mereka yang mati dilaporkan berusia 60 tahun atas dan mempunyai sekurang-kurangnya satu masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi (73.2 peratus), diabetes mellitus (55 peratus), kolesterol tinggi (46.9 peratus), penyakit jantung (15.8 peratus) kegagalan buah pinggang (15.8 peratus) serta obesiti (10.5 peratus). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya