ALOR SETAR: Kerajaan negeri sedang berusaha memastikan projek menaik taraf loji air di Tupah, Kuala Muda dekat sini dapat dipercepat berbanding jadual yang ditetapkan pada 2023.
Pengerusi Jawatankuasa Kerjaya, Bekalan Air dan Sumber Tenaga negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, kerajaan negeri akan mengadakan perundingan semula dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) supaya loji air tersebut dapat dilaksanakan segera.
“Lagipun sempena kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri serta Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid pada 6 September lepas, telah diumumkan loji air di Tupah dinaik taraf secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Hanif Ghazali (Pas Tanjung Dawai) dalam sesi pertanyaan lisan, Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini hari ini.
Sementara itu, Suraya memberitahu, kesemua kontraktor yang dilantik bagi kelima-lima projek menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) di negeri ini sedang melaksanakan kerja-kerja awalan di tapak projek terlibat.
Katanya, secara umumnya kesemua projek tersebut tdimulakan pada Mei dan Jun 2021 dan dijangka siap pada pertengahan 2023 dan 2024.
“Bagi projek menaik taraf LRA Jenun Baru di Pendang dan Bukit Selambau di Kuala Muda, tarikh siap kerja dijangkakan pada 2 Disember 2023 manakala Projek LRA Sungai Limau di Baling pada 28 Oktober 2023.
“Projek menaik taraf LRA Lubuk Buntar Lama di Bandar Baharu pula dijangka siap pada 27 Mei 2023 dan Projek Menaik Taraf LRA Pelubang, Kubang Pasu siap pada 15 Mei 2024. – UTUSAN ONLINE