Pemberi maklumat tidak boleh beri maklumat kepada media

PARLIMEN: Pemberi maklumat tidak boleh beri maklumat kepada media

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menegur segelintir pihak yang mempertikaikan tindakan kerajaan mendakwa pemberi maklumat yang mendedahkan maklumat terus kepada media.

Beliau berkata, ia menjadi amalan global bahawa pemberi maklumat perlu melaporkan pendedahan mereka kepada agensi berkaitan terlebih dahulu, bukan kepada media.

“Ia bertujuan membolehkan agensi yang bertanggungjawab menyemak kesahihan maklumat, menilai risiko keselamatan dan mengelakkan penyalahgunaan sistem.

“Jika maklumat terus didedahkan kepada media, ia boleh mencetuskan keadaan ‘perbicaraan oleh media’, di mana orang awam membuat penilaian sendiri terhadap kesalahan yang berlaku. Ini jelas tidak adil kepada sistem perundangan negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong (BN–Ayer Hitam) yang meminta penjelasan berhubung cadangan kerajaan meminda definisi pemberi maklumat dalam akta sedia ada supaya tidak terlalu ketat dan menyekat perlindungan kepada individu terbabit.

Azalina berkata, kerajaan komited terus memperkukuh sistem perlindungan terhadap pemberi maklumat, namun setiap kesalahan tetap perlu ditangani mengikut undang-undang.

“Kesalahan tetap kesalahan, tetapi ada pemberi maklumat yang perlu dilindungi. Maka, jika perlu kerajaan akan memasukkan mereka dalam program Perlindungan Kesaksian.

“Itulah ekosistem yang sedang kita bangunkan bagi mengurus isu pemberi maklumat dengan lebih adil dan profesional,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan sentiasa menjunjung prinsip kerahsiaan maklumat dan menjamin perlindungan identiti pemberi maklumat seperti termaktub di bawah Seksyen 8 Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).

“Identiti dan maklumat berkaitan pemberi maklumat tidak boleh didedahkan kecuali untuk tujuan siasatan atau prosiding undang-undang yang sah. Ini telah diperuntukkan secara jelas dalam akta tersebut,” katanya.

Kata Azalina, langkah-langkah reformasi yang digerakkan termasuk cadangan meminda Akta 711 adalah sebahagian daripada usaha menyeluruh bagi memperkukuh integriti institusi serta memberi jaminan keselamatan dan keadilan kepada semua pihak yang tampil ke hadapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN