JOHOR BAHRU: Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura akan memperhalusi cadangan kerajaan negeri supaya operator perkhidmatan bas negara itu dapat memulakan operasi seawal pukul 4.30 pagi di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, ini kerana pengembara yang menggunakan perkhidmatan itu telah beratur seawal 4 pagi, sedangkan perkhidmatan bas berkenaan hanya bermula pukul 5 pagi.
“Saya telah berkunjung ke CIQ BSI bersama-sama pihak LTA serta operator perkhidmatan bas yang beroperasi di pintu sempadan ini untuk melihat sendiri suasana waktu pagi.
“Pihak LTA akan berbincang dengan operator bas tentang permohonan mengawalkan perkhidmatan bas kerana perkhidmatan MRT Singapura hanya beroperasi pada pukul 5.35 pagi,” katanya selepas meninjau operasi bas tersebut di CIQ BSI, hari ini.
Pihaknya turut mencadangkan supaya operator perkhidmatan bas menambah bilangan kekerapan perjalanan melibatkan laluan berkenaan.
“Bagi cadangan penambahan ‘trip’, ia melibatkan kos dan operasi setiap operator. Oleh itu, pihak LTA akan berbincang dengan setiap operator dan perkara itu akan diputuskan dalam tempoh terdekat serta akan maklumkan nanti,” katanya.
Tambak Johor merupakan antara sempadan antarabangsa paling sibuk di dunia dengan dianggarkan lebih 350,000 pengembara berulang-alik setiap hari antara Malaysia dan Singapura.-UTUSAN










