Cuaca panas dorong penggunaan air yang tinggi di Pulau Pinang

Cuaca panas dorong penggunaan air yang tinggi di Pulau Pinang

TERKINI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Cuaca panas dan kering khususnya di Pulau Pinang menyaksikan negeri ini kini berdepan lonjakan pengunaan air domestik yang ketara iaitu sehingga mencecah hampir 900 juta liter sehari (JLH).

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. K. Pathmanathan berkata, justeru PBAPP terpaksa meningkatkan pengeluaran dan pengagihan air bagi menampung keperluan rakyat serta mengelak gangguan bekalan di beberapa kawasan.

“Penggunaan harian air bagi Jun 2025 direkodkan pada 899.2 JLH iaitu meningkat berbanding purata penggunaan tahun lalu sebanyak 870 JLH.

“Sebagai respons kepada peningkatan ini, PBAPP telah menghasilkan purata 1,213.3 JLH air terawat pada bulan yang sama daripada 10 loji rawatan air (LRA) negeri, melepasi pengeluaran 2024 sebanyak 1,208 JLH,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, pihaknya masih menerima aduan tekanan air rendah secara berkala, terutamanya daripada pengguna di kawasan tanah tinggi dan hujung paip agihan (HPA) di beberapa daerah kritikal.

“Isu ini membabitkan kawasan Seberang Perai Tengah (SPT), Seberang Perai Selatan (SPS) serta Daerah Barat Daya (DBD) di bahagian pulau. Ini berlaku ketika waktu puncak apabila permintaan berada pada paras tertinggi,” katanya.

Pathmanathan berkata, bagi menangani isu tersebut, PBAPP kini melaksanakan beberapa pelan teknikal termasuk meningkatkan pengeluaran air terawat di LRA Sungai Dua, loji terbesar negeri yang menyumbang lebih 80 peratus bekalan air untuk Pulau Pinang.

“Setakat 19 Julai 2025, paras Sungai Muda yang menjadi sumber utama air mentah masih berada pada tahap stabil iaitu 2.55 meter, tanpa sebarang gangguan di muka sauk Lahar Tiang, Terusan Sungai Dua atau di LRA Sungai Dua.

“PBAPP turut menyelaraskan operasi pengepaman dari Sungai Dua ke kawasan terjejas secara berfasa bagi menstabilkan tekanan air serta mengelakkan risiko paip pecah dan kebocoran tidak disengajakan, terutamanya ketika kapasiti pengeluaran berada pada tahap maksimum,” katanya.

Ujar beliau, langkah-langkah tambahan yang sedang dilaksanakan pula termasuk pengoptimuman operasi sembilan LRA lain, penangguhan sementara projek naik taraf loji, audit bekalan air di kawasan terlibat, pelarasan injap air utama secara besar-besaran dan pemantauan ketat terhadap paip utama.

“Paras kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Teluk Bahang masing-masing berada pada 59.4 peratus dan 53.8 peratus. Usaha mempertahankan paras ini sedang giat dijalankan sehingga musim hujan yang dijangka September ini.

Tambah beliau, Pulau Pinang ialah negeri dengan sumber air yang terhad dan pihaknya merayu kerjasama daripada pengguna untuk mengamalkan penjimatan air dan menyokong sasaran 250 liter/seorang/sehari (LKH) dalam kegunaan domestik.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN