SEMPORNA: Penunggang motosikal maut setelah bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di KM23, Jalan Semporna-Tawau, di sini petang semalam.
Dalam kejadian pada pukul 3.45 petang, penunggang motosikal berusia 27 tahun itu tercampak akibat rempuhan yang berlaku dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Farhan Lee Abdullah berkata, kenderaan Toyota Land Cruiser yang dipandu seorang lelaki berusia 21 tahun difahamkan cuba mengelak dan memotong sebuah lori yang dipandu perlahan sebelum berlanggar dengan motosikal yang datang daripada arah bertentangan.
Akibat pertembungan itu, penunggang motosikal tercampak ke sebelah kanan jalan dan apabila ambulans tiba, mangsa berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Semporna untuk siasatan selanjutnya dan doktor mengesahkan penunggang motosikal ini maut akibat pendarahan teruk di bahagian kepala.
“Pemandu pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mohd. Farhan berkata, mayat mangsa disimpan di bilik mayat Hospital Semporna bagi menunggu keputusan RTK Covid-19 dan tuntutan waris.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.










