Penjawat awam wajib vaksin sebelum 1 November - JPA - Utusan Malaysia

Penjawat awam wajib vaksin sebelum 1 November – JPA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mewajibkan semua penjawat awam melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 sebelum 1 November ini.

Ketika ini, kelompok penjawat di seluruh negara yang belum mendaftar untuk divaksin adalah seramai 16,902 orang. 

JPA menerusi kenyataan akhbar hari ini memaklumkan, keputusan itu dibuat bagi memberikan keyakinan dan jaminan kepada orang awam serta memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.

Menurutnya, ia juga selari dengan usaha mengembalikan perkhidmatan kerajaan pada tahap pengoperasian penuh berdasarkan fasa-fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Semua pegawai perkhidmatan awam Persekutuan dikehendaki segera melengkapkan vaksinasi mereka sebelum 1 November ini.

“Dalam tempoh ini, pegawai yang belum divaksin hendaklah hadir secara walk-in ke pusat pemberian vaksin (PPV) disediakan kerajaan,” katanya.

Menurut JPA, bagi pegawai yang tidak boleh divaksin atas sebab kesihatan, mereka perlu mengemukakan kepada Ketua Jabatan maklumat kesihatan yang disahkan pegawai perubatan kerajaan.

Jelasnya, sekiranya pegawai awam belum mengambil vaksin selepas tempoh yang ditetapkan tanpa mendapatkan pengecualian daripada pegawai perubatan kerajaan, maka pegawai tersebut boleh dikenakan tindakan tatatertib selaras dengan peraturan semasa yang berkuat kuasa. 

“Semua pegawai awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993],” katanya.

Setakat ini, jumlah peratusan pegawai awam Persekutuan yang mengambil vaksin mencapai hampir 98 peratus, manakala kelompok mereka yang masih belum mendaftar untuk divaksin adalah kecil iaitu hanya 1.6 peratus (16,902 orang). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya