Penganggur ditahan bersama pistol, 2.5 kilogram dadah 

Penganggur ditahan bersama pistol, 2.5 kg dadah 

MIOR Faridalathrash Wahid menunjukkan senjata api yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Pekan Baru dalam sidang akhbar di IPD Hilir Perak, Teluk Intan, hari ini. - FOTO/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Kegiatan pengedaran dadah di daerah ini lumpuh selepas polis menahan seorang lelaki berusia 36 tahun dan merampas 2.5 kilogram dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Pekan Baru, di sini hari ini.

Penahanan suspek terbabit dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada pukul 2.30 pagi.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya merampas 10 peket plastik lutsinar berisi dadah disyaki heroin seberat 2,409.60 gram, empat paket plastik berisi dadah methamphetamine dengan berat 21.50 gram dan satu paket plastik berisi dadah jenis ganja seberat 24.94 gram.

“Kesemua dadah itu dirampas di dalam sebuah bilik di rumah berkenaan dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM87,733.

“Turut dirampas bersama suspek ialah sepucuk pistol bersama satu kelopak mengandungi 34 butir peluru selain seutas rantai leher bernilai RM2,500,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini hari ini.

Menurut Mior Farid, ujian saringan air kencing terhadap suspek yang juga penganggur itu mendapati positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).

Katanya, semakan ke atas suspek juga mendapati lelaki terbabit mempunyai lima rekod lampau bersabit kes jenayah dan narkotik.

“Siasatan mendapati, dadah yang dirampas itu boleh dibekalkan untuk kira-kira 3,500 penagih dan disyaki untuk diedarkan di sekitar daerah Teluk Intan.

“Suspek juga disyaki terlibat dalam kegiatan tersebut sejak lapan bulan lalu dan menjalankan aktiviti pengedaran secara bersendirian,” katanya.

Menurut beliau, senjata api yang ditemui bersama lelaki itu dipercayai digunakan untuk mempertahankan diri semasa melakukan urus niaga jual beli dadah.

“Suspek direman tujuh hari bermula hari ini sehingga Selasa depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.