Pekerja kilang hilang ditemukan mati dalam kereta terjunam - Utusan Malaysia

Pekerja kilang hilang ditemukan mati dalam kereta terjunam

KEADAAN kereta dipandu L. Hemavathi yang terjunam dalam parit di ladang kelapa sawit  di Jalan Maryland  Sungai Kob, Kulim, Kedah,  hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM:  Misteri kehilangan seorang pekerja kilang wanita terjawab apabila mayatnya ditemukan di dalam kereta yang terjunam ke dalam parit di ladang kelapa sawit di Jalan Maryland, Sungai Kob, di sini hari ini.

Mangsa, L. Hemavathi, 43, yang bekerja di sebuah kilang di Kawasan Industri Kelang Lama di sini dilaporkan hilang oleh keluarganya sejak 16 September lalu.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Sazalee Adam berkata, mayat mangsa ditemukan kira-kira pukul 8.30 pagi masih berada di dalam kereta jenis Honda Jazz.

“Mangsa ditemukan di dalam kereta yang terbalik di dalam parit besar berhadapan sebuah kuil.

“Hasil siasatan, mangsa dipercayai terbabas ke laluan  bertentangan sebelum terjunam ke dalam parit di kawasan yang terlindung daripada pandangan orang ramai,” katanya di sini hari ini.

Menurut Sazalee, siasatan di tempat kejadian mendapati tiada kesan brek di atas jalan dan kereta mangsa remuk  terutama di bahagian bumbung dan hadapan.

Katanya, mayat mangsa dalam keadaan berpakaian lengkap telah busuk dan dipercayai meninggal dunia sejak seminggu lalu.

“Barang kemas yang mangsa pakai ketika keluar dari rumah masih berada pada mayat mangsa,” ujarnya. 

Tambahnya, hasil siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk bedah siasat. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya