[PARLIMEN] Tempoh pelaporan kes kematian Covid-19 mesti dibuat dalam tempoh 48 jam - Utusan Malaysia

[PARLIMEN] Tempoh pelaporan kes kematian Covid-19 mesti dibuat dalam tempoh 48 jam

Proses untuk mengenal pasti sama ada kematian disebabkan Covid-19 atau tidak perlu diadakan bagi tujuan statistik kebangsaan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bagi memastikan data pelaporan kes kematian Covid-19 dikemas kini secepat mungkin, Kementerian Kesihatan menetapkan tempoh pelaporan mesti dilakukan dalam tempoh 48 jam.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, penetapan itu dibuat selepas data kematian menimbulkan kekeliruan baru-baru ini.

“Data kematian yang direkodkan adalah berdasarkan jumlah pelaporan kematian diterima pada hari tersebut. Tidak berlaku ralat, cuma terdapat backlog pelaporan kes berikutan kebanjiran kes Covid-19 terutama di Lembah Klang pada penghujung Julai hingga akhir Ogos.

“Bagi melaporkan setiap kes kematian, ia harus mengikut klasifikasi kematian di mana di Malaysia hanya kematian disebabkan oleh jangkitan dilaporkan sebagai kematian bukan kematian bersama Covid-19,” katanya ketika sesi penggulungan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Tambahnya, proses untuk mengenal pasti sama ada kematian disebabkan Covid-19 atau tidak perlu diadakan bagi tujuan statistik kebangsaan serta menjadi penanda aras di peringkat antarabangsa mengikut garis panduan dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada April 2020.

“Pelaporan kematian dari fasiliti kesihatan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) pusat sepatutnya mengmbil masa 24 hingga 72 jam setelah kematian berlaku memandangkan terdapat juga penyiasatan lapangan yang harus dijalankan.

“Bagi kes yang memerlukan bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian seperti meninggal di luar hospital ada kalanya mengambil masa hingga enam minggu, yang ini menjadi backlog yang akan kita usahakan supaya kita dapat selesaikan kes-kes itu,” katanya.

Khairy juga menjelaskan, secara amnya, tunggakan pelaporan kes kematian tidak hanya berlaku di Malaysia sebaliknya turut berlaku di negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan India.

Katanya, tunggakan pelaporan berlaku di seluruh negara namun kesannya amat ketara di Lembah Klang memandangkan pada akhir bulan Julai sehingga pertengahan Ogos 2021, kawasan itu mengalami peningkatan kes Covid-19 yang signifikan sekali gus mengakibatkan beban kerja yang tinggi dan kekangan di lapangan dari segi sumber terutamanya sumber manusia.

“Oleh itu fokus dan keutamaan anggota lapangan ketika itu adalah perawatan pesakit dan secara tidak langsung menjejaskan pelaporan tepat pada waktunya. Bagaimanapun, kementerian memandang serius akan kepentingan pelaporan kematian bagi Covid-19 ketelusan pelaporan merupakan agenda penting bagi kementerian.

“Jadi kita mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan data pelaporan dikemaskini secepat mungkin dengan menetapkan tempoh pelaporan mesti dilakukan dalam tempoh 48 jam.

“Jika dilihat trend kematian mengikut tarikh kematian sebenar dalam laman web Covidnow, trend itu menunjukkan penurunan sehingga 22 peratus dan masih terdapat 422 pelaporan kematian tertunggak termasuk 109 kes BID sejak pertengahan bulan Julai lepas,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya