[PARLIMEN] Syarat Geran Khas Prihatin 4.0 tidak terlalu ketat - Utusan Malaysia

[PARLIMEN] Syarat Geran Khas Prihatin 4.0 tidak terlalu ketat

kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan merugikan industri dan memberi kesan besar kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang masih berusaha untuk pulih. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menyifatkan syarat-syarat yang dikenakan untuk Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 adalah sangat minimum dan tidak terlalu ketat untuk pemohon.

Beliau berkata, syarat kelayakan yang ditetapkan adalah berstatus warganegara, jumlah jualan atau perolehan tahunan mestilah kurang RM300,000 dan jumlah pekerja sepenuh masa tidak melebihi empat orang tidak termasuk pemilik.

Katanya, syarat lain adalah berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT),  Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebelum atau pada 30 Jun 2021 dan masih aktif menjalankan perniagaan semasa permohonan dibuat.

“Ingin saya tekankan bahawa syarat kelayakan ini adalah sangat minimum dan tidak terlalu ketat.

“Malah pada Julai 2021, kementerian telah membuka permohonan baharu kepada usahawan mikro yang tidak lulus permohonan sebelum ini selain membuka permohonan baharu sebanyak empat kali iaitu 31 Disember 2019, 31 Ogos 2020, 28 Februari 2021 dan 30 Jun 2021,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, data penerima bantuan adalah berdasarkan data terkini pendaftaran PBT, SSM dan LHDN melibatkan penerima sedia ada yang berstatus lulus dan berjaya kredit serta penerima baharu GKP 4.0.

“Syarat-syarat yang dikenakan adalah bagi memastikan tiada ketirisan serta usahawan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang betul-betul layak mendapat bantuan bagi menghadapi cabaran Covid-19,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Fasiah (Bersatu-Sabak Bernam) berkenaan syarat-syarat permohonan GKP 4.0.

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ

Dalam pada itu, Tengku Zafrul menjelaskan, lebih sejuta usahawan PKS dan mikro melibatkan penerima GKP sebelum ini serta penerima baharu mula menerima bayaran pada 21 September melalui bayaran fasa pertama, dengan fasa kedua berjumlah RM500 akan dibuat pada November 2021 menjadikan keseluruhan bayaran sebanyak RM1,000.

“Jumlah keseluruhan pembayaran melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1 bilion dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan dalam sistem GKP.

“Secara keseluruhan, sejumlah RM6.08 bilion dimanfaatkan oleh lebih satu juta usahawan mikro melalui empat siri bayaran sejak pandemik melanda negara,” katanya.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata, institusi kewangan pembangunan turut memainkan peranan utama antaranya menyokong kelangsungan usahawan mikro dan PKS dari segi memudah cara pembiayaan melalui pakej pinjaman mudah.

“Malah, kementerian baru-baru ini menyarankan institusi kewangan merangka penyelesaian lebih praktikal seperti penggunaan kriteria pembiayaan yang kurang membebankan supaya perniagaan dapat kembali pulih dan beroperasi secepat mungkin susulan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial.

“Institusi kewangan seperti Bank Simpanan Nasional (BSN), Agro Bank dan SME bank telah melaksanakan pelbagai skim pembiayaan melalui dana bank negara Malaysia di mana jumlah keseluruhan adalah RM8.1 bilion,” katanya.

Katanya, sebagai langkah ke hadapan, institusi kewangan pembangunan perlu menekankan strategi yang mengutamakan pelaburan dan pemberian pinjaman bagi menyokong usahawan mikro yang terlibat dalam inovasi peringkat awal serta mereka yang sedang beralih ke operasi digital.

“Mereka juga perlu menumpukan usaha dalam menyokong usahawan yang terlibat dalam menekankan aspek kelestarian,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya