[PARLIMEN] Pelajar dibahagi dua kumpulan, mudahkan PdP - Utusan Malaysia

[PARLIMEN] Pelajar dibahagi dua kumpulan, mudahkan PdP

RADZI JIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perancangan pembukaan sesi persekolahan kini lebih strategik apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dijangka melaksanakannya secara bergilir dan sistematik.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk  Dr. Radzi Jidin berkata, sesi pembelajaran bagi para pelajar  dibahagikan kepada Kumpulan A dan Kumpulan B.

“KPM telah mengumumkan bahawa sekolah dibuka untuk pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka mulai 3 Oktober 2021 bagi negeri kumpulan A dan 4 Oktober 2021 bagi negeri kumpulan B.

“Pembukaan sekolah dibuat secara berperingkat mengikut fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN). Bagi negeri Fasa 1 PPN, semua murid masih meneruskan PdPR dan hanya tadika swasta dibenarkan beroperasi bagi anak-anak yang ibu bapa atau penjaga mereka bekerja.

“Bagi negeri Fasa 2 PPN, PdP secara bersemuka dibenarkan untuk murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa yang akan menduduki peperiksaan dalam tempoh terdekat,” katanya dalam persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan dibangkitkan Sim Tze Tzin (DAP- Bayan Baru) yang memohon kerajaan menjelaskan kepada pihak sekolah dan ibu bapa yang sedang keliru bagaimana pelaksanaan pembukaan sekolah secara giliran itu.

Beliau meminta supaya dijelaskan apakah perincian perlaksanaan dan cara pelaksanaan seorang cikgu mengajar PdP Bersemuka dan dalam talian pada masa yang sama.

Tambah Radzi, negeri di Fasa 3 PPN, murid yang hadir ke sekolah adalah sama seperti kumpulan murid di Fasa 2.

Selain itu, katanya, murid kelas peperiksaan awam dan peperiksaan antarabangsa yang lain akan hadir dan prasekolah juga  mula beroperasi sementara murid lain mengikuti PdPR.

Bagi negeri di Fasa 4 PPN, murid yang akan hadir ke sekolah adalah sama seperti kumpulan murid di Fasa 3. Kemasukan murid lain akan dilaksanakan secara berperingkat.

Menjawab soalan seterusnya, Radzi berkata, bagi kelas yang melaksanakan penggiliran, murid di dalam kelas tersebut akan dibahagikan kepada dua kumpulan.

“Dalam satu-satu minggu hanya satu kumpulan sahaja yang akan hadir ke sekolah manakala kumpulan yang satu lagi akan melaksanakan PdPR secara sendiri. Sebagai contoh, kelas yang mempunyai 36 murid akan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu A dan B dengan setiap kumpulan mempunyai 18 murid.

“18 murid kumpulan A akan hadir pada minggu pertama untuk mengikuti PdP secara bersemuka manakala 18 murid kumpulan B akan menjalani PdPR secara sendiri dan sebaliknya untuk minggu seterusnya,” katanya.

Menurut beliau, guru akan menetapkan kumpulan murid dan giliran mereka untuk hadir ke sekolah. Guru kemudiannya akan memaklumkan kepada setiap kumpulan murid tentang persediaan yang perlu dilaksanakan semasa mereka menjalani PdPR secara sendiri atau sebelum mereka hadir ke sekolah untuk PdP bersemuka.

“Bagi kumpulan murid yang mengikuti PdPR secara sendiri, guru akan menjelaskan tentang aktiviti, latihan atau tugasan yang perlu dilaksanakan berdasarkan topik yang akan dipelajari.

“Di samping itu, guru akan turut memberi sumber rujukan yang boleh digunakan oleh murid semasa pembelajaran di rumah. Ini membolehkan murid mengikuti aktiviti pembelajaran melalui TV Pendidikan, rakaman video, pelantar DELIMa serta SumberKU,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya