MADRID: Seorang wanita Nigeria memecahkan rekod dunia untuk maraton wawancara paling lama selepas menemu bual 90 individu dalam tempoh 55 jam, 24 saat.
Rekod tersebut dipecahkan oleh Clara Chizoba Kronborg menerusi rancangan bual bicara di YouTube bertajuk Women’s World Show yang diadakan pada 8 Mac lalu dan berakhir pada 10 Mac.
Kronborg berjaya menewaskan pemegang rekod sebelumnya yang dicatatkan oleh Rob Oliver dari Amerika Syarikat (AS) dengan masa 37 jam, 44 minit pada 2022.
Maraton temu bual itu melibatkan perbualan dengan individu dari pelbagai latar belakang, berkongsi tentang cara mereka mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing sebagai ahli politik, pemilik perniagaan, pencipta kandungan dan banyak lagi.
“Percubaan rekod ini adalah mengenai menyatukan individu yang pelbagai, berkongsi naratif mereka yang memberi inspirasi dan menjalin hubungan bermakna pada skala global.
“Saya komited untuk memperkasa suara wanita terutamanya yang bekerja keras dan menggunakan kisah mereka sebagai sumber inspirasi kepada orang lain yang menghadapi cabaran serupa,” kata Kronborg kepada Guinness World Records.
Kronborg berkata, beliau mula berminat dengan topik kejayaan semasa membesar dalam kemiskinan di Nigeria.
Usahawan media dari bandar Okija itu menjalankan temu bual di atas kapal layar yang berlabuh di Marbella, Sepanyol dan hanya dibenarkan berehat selama 5 minit setiap jam.
Antara cabaran yang dihadapinya termasuk suara yang tiba-tiba bertukar serak, sakit di bahagian leher dan belakang, rasa mengantuk dan diganggu senggugut yang kuat.
“Saya meminum banyak air dan terpaksa memakai lampin dewasa sepanjang temu bual berlangsung.
“Mengimbau kembali semua yang saya lalui secara fizikal, mental, kewangan dan emosi, rasa seakan tidak percaya apabila berjaya memecahkan rekod ini,” katanya.










