Bukan cerewet, tapi teliti – Mimi Lana - Utusan Malaysia

Bukan cerewet, tapi teliti – Mimi Lana

KUALA LUMPUR, 26 APRIL 2024 - Sesi fotografi bersama selebriti, Mimi Lana ketika pelancaran drama Astro berjudul Framed di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur di sini hari ini. GAMBAR - AMIR KHALID / PEMBERITA - HIBURAN ( UTUSAN / KOSMO )
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELAKON bertubuh langsing dan tinggi lampai, Mimi Lana acap kali muncul di kaca televisyen sehingga lakonannya menjadi buah mulut masyarakat. 

Tambah lagi selepas persembahannya menerusi drama Perempuan itu berjaya menambat hati penonton. 

Dari lantunan suara dan emosi, Mimi dalam drama itu berjaya menghidupkan watak isteri tersakiti di bawah arahan Emma Fatima. 

Kini, anak kelahiran Taiping, Perak ini seterusnya mengorak langkah menerusi beberapa drama bersiri dan filem yang bakal ditayangkan tidak lama lagi. 

Disoal tentang itu, pemilik nama Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 29, secara tenang menjawab, dia bersyukur dengan rezeki yang dinikmati dalam dunia lakonan.

“Saya berharap orang seronok menonton lakonan saya. Tak ada masalah kalau wajah saya selalu keluar di kaca televisyen, kerana saya mahu hidangkan sesuatu yang bagus buat audiens,” katanya. 

Berkongsi lanjut, Lana mengakui dia cukup teliti dan akan mengutamakan skrip atau watak yang mendatangkan impak yang baik kepada masyarakat.

“Bukan saya memilih, buat masa sekarang, banyak sahaja tawaran kerja. Tapi saya sangat mengutamakan skrip. 

“Bagi saya, naskhah yang dihasilkan mestilah memberi manfaat kepada penonton. 

“Maklum balas yang positif sudah memadai buat saya kerana saya sudah menjalankan  tanggungjawab sebagai pelakon,” jelasnya. 

Hampir kemurungan kerana Lia

Mimi yang kini sibuk mempromosikan drama bersiri Framed arahan Sein Qudsi berkata dia mengambil serius setiap kerja lakonan yang ditawarkan kepadanya.  

Kongsi Mimi, watak, Lia yang mengalami tekanan perasaan dan kemurungan yang dibawakannya dalam drama tersebut bukan peranan yang mudah untuk dihidupkan kerana dia sendiri tiada pengalaman sebegitu dalam kehidupan sebenar. 

Justeru, Mimi mendapatkan tunjuk ajar guru lakonan untuk membantunya menghidupkan watak Lia secara lebih semula jadi. 

Akuinya, disebabkan terlalu menjiwai, dia terbawa-bawa watak tersebut sehingga ke luar set penggambaran.

“Watak Lia hampir buat saya kemurungan kerana jalan ceritanya banyak bermain dengan garis masa. 

“Ada kejadian berlaku pada masa depan, ada juga kejadian yang berlaku pada masa lalu, jadi itu yang buat saya sedikit keliru sewaktu baca skrip. 

“Alhamdulillah dengan bantuan pengarah, penulis skrip dan guru lakonan saya berjaya juga selesaikan sesi penggambaran,” ujarnya.

Sementara itu, Mimi juga memaklumkan turut terkesan lebih-lebih lagi terhadap waktu tidur setelah tamat sesi penggambaran Framed.  

“Itu perkara biasa buat seorang pelakon. Untuk keluar dari watak Lia juga mengambil masa sebenarnya kerana penggambaran drama ini banyak dijalankan pada waktu malam. 

“Ketika penggambaran, saya tidur pada waktu pagi, dan bekerja pada waktu malam. Keadaan set pula hampir setiap hari suram menyebabkan waktu tidur saya turu terganggu,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN