Tiga wanita dijangkiti HIV ketika buat rawatan muka

Tiga wanita dijangkiti HIV ketika buat rawatan muka

IMEJ mikroskop elektron Institut Kesihatan Kebangsaan AS menunjukkan sel manusia diserang virus HIV.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALBUQUERQUE: Tiga wanita disahkan menghidap HIV selepas menjalani rawatan vampire facial di sebuah spa perubatan tidak berlesen di New Mexico, kes pertama jangkitan virus itu melalui prosedur kosmetik yang menggunakan jarum, lapor pegawai kesihatan persekutuan. 

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) memaklumkan dalam Laporan Morbiditi dan Kematian minggu lalu, siasatan terhadap klinik berkenaan mendapati pekerjanya menggunakan semula peralatan pakai buang yang dikhaskan untuk sekali penggunaan sahaja.

Walaupun penularan HIV daripada darah tercemar melalui suntikan tidak disteril diketahui  berisiko, kes itu adalah dokumentasi pertama kemungkinan jangkitan yang melibatkan perkhidmatan kosmetik.

Vampire facial atau prosedur jarum mikro plasma, melibatkan pengambilan darah pelanggan, mengasingkan komponennya sebelum menggunakan jarum kecil untuk menyuntik plasma ke wajah bagi meremajakan kulit. 

Jabatan Kesihatan New Mexico mula menyiasat spa berkenaan pada musim panas 2018 selepas dimaklumkan seorang wanita berusia 40-an diuji positif HIV walaupun tidak mempunyai faktor risiko yang diketahui. 

Wanita itu melaporkan pendedahan kepada jarum melalui prosedur di klinik berkenaan pada musim bunga tahun yang sama.

Spa tersebut ditutup pada musim gugur 2018 selepas penyiasatan dilancarkan dan pemiliknya didakwa kerana mengamalkan perubatan tanpa lesen.

“Siasatan turut mendedahkan betapa pentingnya amalan kawalan jangkitan di premis perniagaan yang menawarkan prosedur kosmetik melibatkan jarum.

“Siasatan juga terganggu akibat aktiviti penyimpanan rekod yang lemah di klinik itu. Justeru  perniagaan yang menyediakan perkhidmatan sedemikian harus menyimpan rekod yang lebih baik sekiranya pelanggan perlu dihubungi di masa hadapan,” jelas laporan itu.-AP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN