[PARLIMEN] Malaysia ketinggalan jika lewat ratifikasi RCEP - Utusan Malaysia

[PARLIMEN] Malaysia ketinggalan jika lewat ratifikasi RCEP

MOHAMED AZMIN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerjasama antara 15 negara termasuk Malaysia yang menganggotai Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) sedang berjalan bagi memastikan perjanjian itu dilaksanakan dan komitmen serta kewajipan dipatuhi sepenuhnya.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerjasama lain yang dirancang termasuk meningkatkan kapasiti bagi penurunan atau penghapusan kadar tarif import, pengurangan halangan berbentuk bukan tarif seperti penerimaan pakai standard dan piawaian industri setiap negara.

Antara lain, kata beliau, negara anggota RCEP komited mengurangkan halangan-halangan bukan tarif atau melalui penyelarasan tatacara import dan eksport bagi memudah cara pergerakan barangan rentas sempadan.

“RCEP juga melalui Bab Standard, Peraturan Teknikal dan Prosedur Penilaian Pematuhan atau Standards  menekankan keperluan mengadakan kerjasama antara badan-badan piawaian negara anggota.

“Selain itu, anggota RCEP turut berbincang di peringkat teknikal untuk memastikan piawaian dan standard industri negara masing-masing tidak menjadi penghalang atau meningkatkan kos barangan yang dieksport.

“Justeru, usaha-usaha berterusan kerajaan dalam meningkatkan kerjasama dengan negara-negara RCEP adalah seiring dengan matlamat utama perjanjian terutama mengukuhkan aktiviti rantaian nilai serantau di samping menjadikannya lebih mesra pengguna,” katanya ketika sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-PDP) mengenai status terkini RCEP dan rancangan kerajaan bagi meningkatkan kerjasama antara negara anggota.

RCEP perjanjian dagangan bebas terbesar di dunia yang sasarannya untuk mengurangkan cukai, mempercepat aliran barangan dan prosedur kastam yang mudah dan melindungi kawal selia khusus bagi trend perdagangan sedang berkembang seperti e-dagang.

RCEP dianggotai 15 negara anggotai merangkumi 10 negara anggpta ASEAN dan lima negara Rakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) sewkatu Sidang Kemuncak RCEP ke-4, pada 15 November 2020.

Antara negara yang meratifikasi perjanjian itu adalah Singapura, China dan Jepun manakala Myanmar telah menghantar surat cara ratifikasi kepada sekretariat ASEAN dan Thailand  melengkapkan proses ratifikasi domestik serta akan menghantar surat cara ratifikasi kepada Sekretariat ASEAN pada hujung tahun ini.

Semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN ke-53 pada 9 September 2021, negara anggota ASEAN mensasarkan tarikh kuatkuasa Perjanjian RCEP pada 1 Januari 2022.

Brunei, Filipina, Indonesia, Kemboja dan Vietnam telah memaklumkan hasrat untuk melengkapkan proses ratifikasi domestik menjelang November 2021 manakala Malaysia pula memberikan komitmen melengkapkan proses ratifikasi pada pertengahan Disember tahun ini.

Mengulas situasi negara yang belum meratifikasi perjanjian itu, kata Mohamed Azmin, ia memerlukan pindaan ke atas akta di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkaitan Hak Harta Intelek (IPR).

Akta itu, katanya, ialah Akta Paten 1983, Akta Hak Cipta 1987 dan Akta Cap Dagangan 2019 bagi memastikan undang-undang tersebut sejajar dengan obligasi negara di bawah RCEP.

Bagaimanapun, katanya, MITI mendapat makluman KPDNHEP bahawa Jabatan Peguam Negara sedang memperhalusinya memberi jaminan ia akan dibentang untuk perbahasan di Parlimen pada hujung tahun ini.

“Sekiranya Malaysia lewat meratifikasi perjanjian ini, negara akan ketinggalan dalam menikmati faedah dan layanan keutamaan seperti yang terkandung dalam RCEP.

“Antara manfaat yang dapat dinikmati sekiranya Malaysia meratifikasi Perjanjian ini adalah pengurangan tarif ke atas barangan eksport, akses pasaran perdagangan perkhidmatan, pergerakan pekerja profesional dan berkemahiran tinggi serta peluang meningkatkan aktiviti pelaburan dalam kalangan negara-negara anggota RCEP,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN