JOHOR BAHRU: Konvensyen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor yang berlangsung di sini, hari kecoh selepas Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mencelah ucapan Naib Presiden PKR, Datuk Seri R. Ramanan.
Difahamkan, Hassan berbuat demikian ketika Ramanan mengkritik bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli secara terbuka.
Bagaimanapun, sesi ucapan yang disiarkan secara langsung di platform media sosial itu dihentikan tidak lama selepas kekecohan berlaku.
Terdahulu, Ramanan menegaskan, PKR tidak boleh dibelenggu politik dalaman sehingga berpecah belah kerana perkara tersebut dibimbangi akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap parti.
Katanya, kekuatan sebenar sesebuah parti politik terletak pada prinsip kebersamaan serta disiplin sesama ahli di semua peringkat, pusat dan negeri.
“Ini bukan masa untuk kita berbalas kenyataan di luar. Setiap perbezaan pandangan harus diselesaikan secara dalaman demi menjaga kekuatan parti.
“Dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu, kestabilan politik dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan perlu dipelihara dan ia bermula dengan kesepaduan dalam parti sendiri,” katanya.
Ramanan berharap seluruh jentera PKR termasuk di negeri ini bersiap siaga serta bergerak sebagai satu pasukan bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya. – UTUSAN










