Matlamat untuk memperkasakan lagi pembangunan usahawan tempatan dan merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Manis menjadi kenyataan buat Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir setelah diberi mandat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan itu dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 tahun lalu.
Pengalaman luas dalam sektor awam dan swasta terutamanya dalam menerajui beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menjadikan Pengiran Saifuddin mampu melihat potensi ekonomi yang pelbagai di DUN Pantai Manis.
“DUN Pantai Manis mempunyai tiga segmen utama yang terdiri daripada kampung tradisi, kawasan semi bandar dan kawasan pertumbuhan baharu.
“Dalam tiga segmen utama ini, semuanya mempunyai potensi ekonomi di mana ia harus dibangunkan.

“Dalam tiga segmen utama ini, sememangnya banyak prasarana yang boleh dibangunkan untuk tujuan perniagaan, dari sekecil gerai sehinggalah prasarana seperti lot kedai dan sebagainya.
“Bagaimanapun, aspek paling utama yang harus diberi perhatian adalah membangunkan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Golongan usahawan inilah merupakan ‘tulang belakang’ dalam sektor ekonomi tempatan,” katanya.
Katanya lagi, DUN Pantai Manis di mana merupakan salah satu DUN di bawah Parlimen Papar terletak dalam kawasan strategik di mana ia berhampiran ibu negeri serta pembangunan infrastruktur yang memperlihatkan perkembangan memberangsangkan.

BIODATA
Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Putra
Pendidikan:
Bachelor of Laws (LLB), University of London,
London, United Kingdom (1986)
Certificate of Legal Practice (CLP), Lembaga
Kelayakan Malaysia, University of Malaya
(1987)
Advocate in the High Court of Borneo (1988)
Master in Business Administration(MBA),
University Malaysia Sabah (2004)
Jawatan Politik:
Timbalan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) N.29
Pantai Manis
Katanya, beberapa projek pembangunan dan kemudahan baharu sedang dilaksanakan bagi merancakkan sektor pelancongan, termasuk pembinaan hotel dan pembangunan kawasan komersial yang dijangka menarik lebih ramai pelabur serta meningkatkan aktiviti ekonomi setempat.
“Setelah menjadi ADUN, sudah tentu saya tidak akan melepaskan peluang ini untuk membangunkan DUN Pantai Manis kerana aktiviti ekonomi yang semakin rancak di Papar, DUN Pantai Manis turut menerima tempiasnya,” katanya.
Dalam aspek pembangunan PMKS, menurutnya walaupun sebelum ini ramai usahawan PMKS tempatan di sini yang telah didedahkan dengan pelbagai seminar dan kursus keusahawanan selain pembiayaan serta latihan, beliau tetap komited untuk melaksanakan pelbagai lagi program untuk membantu golongan itu memperolehi ilmu tambahan dalam menjalankan perniagaan.
Selain itu, beliau yang kini menerajui syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) Sabah Urban Development Corporation Sdn. Bhd. sebagai pengerusi juga komited untuk menyediakan prasarana, akses dan kemudahan yang diperlukan golongan usahawan.
“Untuk kekal relevan, golongan usahawan pada masa kini tidak seharusnya hanya mengurus perniagaan dan membuat produk semata-mata tetapi juga harus meneroka lanskap pemasaran yang kini jauh berbeza berbanding dulu dalam era digital ini.
“Golongan usahawan muda mungkin tidak mempunyai masalah untuk beradaptasi dan memanfaatkan teknologi untuk mempromosikan produk mereka dan memperkembangkan perniagaan, tetapi golongan usahawan senior mungkin tidak semuanya terdedah dengan aspek itu.
“Di samping itu, dunia perniagaan termasuk PMKS juga berdepan dengan saingan semakin sengit dan memerlukan mereka untuk berfikir di luar kotak bagi merangka strategi perniagaan.
“Disebabkan itu, saya ingin memperkasakan usahawan PMKS di DUN Pantai Manis ini khususnya di luar bandar mampu berkembang dan menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi semasa.
“Perniagaan pada zaman sekarang bukan hanya lagi berniaga di premis perniagaan tetapi juga kepentingan penggunaan platform digital untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka,” katanya.
Selain itu, Pengiran Saifuddin turut komited untuk mencari jalan membantu pekerja ekonomi gig di Papar termasuk kawasan DUN Pantai Manis membangun dengan pesat dan berpotensi besar untuk berkembang lebih maju.
Katanya, pada masa kini, pekerja ekonomi gig merupakan antara aspek penting dalam melancarkan lagi urusan perniagaan yang dikendalikan oleh usahawan.
“Tidak dapat dinafikan pekerja ekonomi gig memainkan peranan besar dalam sesebuah perniagaan khususnya PMKS. Begitu ramai anak muda yang melibatkan diri dalam ekonomi gig dan perniagaan secara atas talian.
“Saya telah memulakan langkah bagi meneliti serta mengkaji jenis prasarana (sebagai contoh tempat berehat atau hab) dan kemudahan yang bersesuaian bagi membantu golongan pekerja gig ekonomi ini,” katanya. –UTUSAN










