[PARLIMEN] Kita tidak boleh guna lagi istilah imuniti kelompok - KJ - Utusan Malaysia

[PARLIMEN] Kita tidak boleh guna lagi istilah imuniti kelompok – KJ

Varian delta Covid-19 serta vaksinasi yang belum lengkap dalam kalangan remaja dan kanak-kanak menjadi sebab utama istilah imuniti kelompok tidak boleh lagi digunakan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Malaysia tidak boleh lagi menggunakan istilah imuniti kelompok, meskipun golongan dewasa telah melengkapkan vaksinasi sebanyak 90 peratus.

Beliau berkata, varian delta Covid-19 serta vaksinasi yang belum lengkap dalam kalangan remaja dan kanak-kanak menjadi sebab utama istilah imuniti kelompok tidak boleh lagi digunakan.

“Saya tidak lagi guna terma imuniti kelompok. Pada waktu mulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), kita gunakan formula konvensional untuk mengira imuniti kelompok iaitu 70 hingga 80 peratus.

“Tetapi waktu itu sebelum penularan varian delta. Varian ini sebenarnya telah merosakkan pengiraan imuniti dan sukar untuk kita pastikan bila sebenarnya kita boleh capai imuniti kelompok,” katanya ketika sesi penggulungan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Justeru, katanya, kerajaan tidak boleh lagi melihat kepada soal imuniti, sebaliknya memastikan liputan vaksinasi dicapai seluas mungkin.

“Sebab itu PICK remaja sangat penting, kita sedang melihat kepada data ujian klinikal yang dikeluarkan oleh Pfizer untuk vaksinasi golongan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun sebab tak cukup untuk 80 hingga 90 peratus sahaja dewasa terima vaksin lengkap sebab kanak-kanak belum vaksin.

“Oleh itu, kita jangan lagi sebut soal imuniti kelompok, saya rasa pakar di seluruh dunia sudah menghentikan penggunaan imuniti kelompok dalam konteks Covid-19,” katanya.

Pada masa sama, Khairy berkata, kementerian telah membuat unjuran bahawa apabila capai 90 peratus dewasa, jumlah sebenar imuniti kelompok adalah lebih 60 peratus ketika ini.

“Tetapi kita juga buat keputusan bahawa merentas negeri tidak meningkatkan kes cuma congregation yang berlaku, itu yang menyebabkan kes penularan. Jadi kebenaran merentas negeri sahaja tidak ada isu, dalam soal pergerakan pun tidak ada isu sangat,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy mendedahkan bahawa pelannya dalam masa terdekat adalah untuk mengesan kontak rapat secepat mungkin, mempercepatkan vaksinasi remaja dan mendapatkan tarikh untuk memberikan booster shot kepada golongan berisiko tinggi.

“Dalam peralihan pra-endemik ini, kita mesti mengambil kira di tempat dan kawasan tertentu yang boleh berlaku penularan tanpa kawalan dan kita terpaksa memikirkan beberapa langkah circuit breaker yang pantas dan cepat bagi menghentikan penularan, tetapi ini kita masih bincang.

“Apa yang kita nak elakkan adalah lockdown seluruh negara atau lockdown negeri, kita perlukan satu sistem circuit breaker yang cepat untuk kita menghentikan penularan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya