[PARLIMEN] Isu kewarganegaraan: Kerajaan cadang pinda Perlembagaan - Utusan Malaysia

[PARLIMEN] Isu kewarganegaraan: Kerajaan cadang pinda Perlembagaan

HAMZAH ZAINUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memudahkan ibu-ibu mendapatkan kerakyatan untuk anak-anak mereka yang lahir di luar negara dan mempunyai bapa bukan warganegara Malaysia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesukaran yang dihadapi ibu-ibu yang mahu mendaftarkan anak-anak mereka.

“Saya sebagai Menteri Dalam Negeri bersimpati dengan kes-kes ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan lelaki bukan warganegara yang melahirkan anak di luar negara kerana perlembagaan tidak memperuntukkan untuk anaknya diberikan taraf kewarganegaraan secara kuatkuasa undang-undang.

“Tetapi sebagai seorang menteri yang mengangkat sumpah untuk menjunjung dengan perlembagaan, maka saya terikat dengan perlembagaan dan perundangan sedia ada dalam negara berhubung dengan kewarganegaraan yang diperuntukkan dalam Bahagian 3 dalam perlembagaan dan kaedah-kaedah kewarganegaraan 1964,” katanya ketika sesi penggulungan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau mengakui, kerajaan berada dalam keadaan terhimpit di atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur iaitu kes Suriani Kempe dan enam wanita lawan kerajaan Malaysia, kes Mahisha Suhaila Abdul Majid lawan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara dan dua lagi kes berhubung pentafsiran istilah bapa.

“Keputusan kes Mahisha menyebelahi kerajaan dan telah dibuat rayuan oleh Mahisha kepada mahkamah rayuan dan akan dibicarakan pada November 2021. Jadi ada dua kes, satu kemenangan untuk kerajaan dan dibuat rayuan, satu lagi kes baru-baru ini.

“Setelah menerima dua keputusan yang berbeza, kementerian bercadang untuk membawa perkara ini bagi mendapatkan polisi baharu kerajaan untuk meminda Perlembagaan bagi memudahkan ibu-ibu melahirkan anak mereka di luar negara walaupun berkahwin dengan warganegara asing,” katanya.

Dalam masa sama, Hamzah berkata, perkara ini perlu mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja selaras dengan dengan Perkara 159(5) Perlembagaan.

“Oleh kerana itu, kementerian mengambil keputusan untuk memohon penangguhan pelaksanaan keputusan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mengelakkan, pertamanya kalau saya tak buat stay of execution, contempt of court, kalau saya nak teruskan ianya juga akan melanggar perlembagaan.

“Jadi oleh kerana itu, kita ambil keputusan jalan tengah, kita rayu supaya kita dapat masa panjang, dalam waktu yang sama, kita akan cadangkan kepada Majlis Raja-Raja, kalau dipersetujui boleh kita tukarkan perlembagaan kita,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya