Keluar Mekah sebelum wuquf cetus implikasi hukum - Utusan Malaysia

Keluar Mekah sebelum wuquf cetus implikasi hukum

JEMAAH yang keluar dari Mekah ke lokasi seperti Taif sebelum hari masyair perlu memahami implikasi hukum dan peraturan ditetapkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Jemaah haji yang keluar dari Mekah melebihi dua marhalah seperti ke Taif sebelum hari kemuncak haji atau wuquf dan gagal berniat ihram haji atau umrah ketika masuk semula ke tanah haram, boleh dikenakan dam isa’ah tertib dan taqdir iaitu wajib menyembelih seekor kambing.

Ini susulan terdapat segelintir jemaah haji Malaysia yang telah menyelesaikan ibadah umrah dilaporkan keluar dari Mekah menuju lokasi melebihi dua marhalah (lebih 81 kilometer) seperti Taif bagi tujuan ziarah sebelum hari wuquf.

Pakar rujuk haji, Dr. Mohd. Sirajuddin Siswadi Putera Mo­hamed Shith berkata, jemaah yang keluar dari Mekah ke lo­kasi seperti Taif sebelum hari masyair perlu memahami impli­kasi hukum dan peraturan ditetapkan pihak berkuasa Arab Saudi bagi mengelakkan isu ibadah dan berdepan masalah ke­selamatan.

Beliau menjelaskan, impli­kasi hukum tersebut bergantung kepada jenis haji yang dilaksana­kan sama ada ifrad, qiran atau tamattu’.

Menurut beliau, jemaah haji ifrad dan qiran yang masih ber­ada dalam ihram tidak berdepan masalah sekiranya keluar dari Mekah walaupun melepasi dua marhalah atau kawasan miqat.

“Tiada implikasi hukum ke­rana mereka masih berada dalam keadaan berihram haji.

“Namun, bagi jemaah haji tamattu’ yang telah selesai umrah dan bebas daripada larangan ihram kecuali larangan memotong tumbuhan dan memburu binatang buruan di tanah haram Mekah, mereka wajib berniat ihram semula sama ada ihram haji atau umrah apabila mahu masuk ke Mekah selepas keluar ke Taif,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

MOHD. SIRAJUDDIN SISWADI PUTERA MOHAMED SHITH

Menurut Mohd. Sirajuddin, sekiranya jemaah haji tamattu’ memilih untuk berniat haji di miqat seperti Wadi Mahram di Taif, mereka boleh meneruskan ibadah haji tanpa dikenakan dam tambahan.

Bagaimanapun, katanya, jika mereka masuk semula ke Mekah tanpa berniat ihram haji atau umrah, mereka dianggap melangkaui miqat tanpa ihram dan dikenakan dam isa’ah, selain dam tamattu’ yang sedia ada.

Mohd Sirajuddin menjelaskan, berdasarkan Resolusi Muzakarah Kebangsaan Kali Ke-36 Musim Haji 1441H/2019M, sekiranya jemaah haji tamattu’ pergi ke Taif sebelum wukuf, mereka wajib berniat ihram umrah sekurang-kurangnya di Qarnul Manazil kerana mereka ada kehendak untuk mengerjakan haji semasa masuk ke Mekah.

“Resolusi itu menyebut jika jemaah haji tamattu’ yang pergi ke Taif berniat haji di Qarnul Manazil, jadilah haji tersebut haji tamattu’ yang tidak dikenakan dam tertib dan taqdir kerana telah kembali ke miqat asal atau mana-mana miqat yang lima untuk berniat haji.

“Selain itu, jika jemaah haji pergi ke Taif selepas wukuf dan setelah selesai kerja-kerja haji, wajib berniat ihram umrah di miqat Qarnul Manazil sekiranya mereka ada hasrat untuk mengerjakan umrah. Sekiranya tiada hasrat untuk mengerjakan umrah mereka tidak wajib berniat ihram.

“Ini kerana perjalanan dari Taif misalnya akan melalui kawasan yang sejajar dengan Qarnul Manazil. Jika mereka tidak berniat ihram di situ dan hanya berniat haji apabila tiba di Mekah pada 8 Zulhijjah sebelum berangkat ke Arafah, maka dam tambahan itu dikenakan,” katanya.

Menurut beliau, jemaah da­lam keadaan itu seolah-olah menanggung dua dam iaitu dam tamattu’ yang sedia ada serta satu lagi dam tertib dan takdir kerana melanggar miqat tanpa ihram, iaitu menyembelih se­ekor kambing.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan jemaah supaya mematuhi peraturan Kerajaan Arab Saudi memandangkan pemeriksaan di pintu masuk Mekah kini lebih ketat susulan pihak berkuasa negara itu hanya membenarkan individu dengan visa haji berada di Tanah Suci.

“Sebab itu program ziarah melepasi miqat biasanya tidak dianjurkan sebelum selesai ma­syair.

“Walaupun ada dalam kala­ngan mereka memahami hukum dan mampu bergerak sendiri, kita perlu melihat soal maslahat umum serta mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN