LONDON: Arsenal semakin hampir menamatkan penantian 22 tahun untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan West Ham United 1-0, awal pagi tadi.
Kemenangan di Stadium London itu meletakkan Arsenal lima mata di depan pasukan tangga kedua Manchester City dengan berbaki dua perlawanan.
The Gunners akan disahkan juara jika menang ke atas Burnley pada 18 Mei dan Crystal Palace pada 24 Mei.
Arsenal juga boleh mengesahkan gelaran lebih awal sekiranya City gagal menewaskan Crystal Palace pada aksi tertangguh di Etihad pada Khamis ini.
Bagi West Ham yang berada di tangga ketiga tercorot, kekalahan itu satu tamparan besar dalam perjuangan mereka untuk mengelak penyingkiran.
Mereka kini satu mata di belakang zon selamat dan jurang itu boleh melebar kepada empat mata jika Tottenham Hotspur menewaskan Leeds United awal pagi esok.
Bagaimanapun, kemenangan Arsenal ke atas West Ham dicemari dengan insiden Video Bantuan Pengadil (VAR) yang menafikan jaringan tuan rumah.
Arsenal mendahului menerusi jaringan Leandro Trossard pada minit ke-83 sebelum penjaga gol David Raya menjatuhkan bola di dalam kotak penalti pada masa kecederaan.
Wilson pantas menyambar peluang itu untuk meledak gol, namun pengadil Chris Kavanagh diarahkan pegawai VAR, Darren England supaya meneliti semula insiden kemungkinan kekasaran Pablo ke atas Raya.
Selepas semakan panjang di monitor tepi padang, Kavanagh memutuskan Pablo menghalang penjaga gol Arsenal itu dan jaringan berkenaan dibatalkan.
Arteta dan pemain Arsenal jelas lega dengan keputusan itu, manakala penyokong The Gunners meraikan detik dramatik berkenaan di tengah-tengah bantahan penyokong tuan rumah.
Bekas pertahanan Manchester United, Gary Neville menyifatkan keputusan itu sebagai detik paling besar dalam sejarah VAR EPL.
“Ia seperti satu gempa bumi dalam sejarah VAR. Saya rasa memang berlaku kekasaran kerana tangannya jelas menghalang Raya,” katanya. –AGENSI










