JDT tutup saingan Liga Super, ganyang Kelantan TRW 14-1

JDT tutup saingan Liga Super, ganyang Kelantan TRW 14-1

Penjaga gol Kelantan TRW FC Muhammad Azfar Arif bekerja keras menghalang pergerakan penyerang JDT Bergson Da Silva pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri disini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Juara liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) menutup saingan Liga Super 2025-2026 dengan rekod kemenangan terbesar dalam sejarah Liga Super apabila membelasah Kelantan The Real Warriors (TRW) 14-1 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam tadi.

Penyerang berbisa JDT, Bergson Da Silva muncul wira pasukan apabila meledak ‘double hattrick’ (enam gol) ketika membenam pasukan tuan rumah itu.

Pesta gol anak buah Xisco Munoz bermula dengan jaringan Bergson setelah penyerang kelahiran Brazil itu hanya memerlukan 50 saat sahaja untuk menanduk masuk hantaran silang Jonathan Silva.

Bergson menambah jaringan buat JDT setelah rembatan deras dari luar kotak penalti gagal ditumbuk keluar penjaga gol, Azfar Arif Mohd. Sukri pada minit ke-11.

Lima minit berselang, giliran Manuel Hidalgo meletakkan nama dalam senarai penjaring setelah memanfaatkan umpanan Jonathan dengan melakukan rembatan kencang dari jarak dekat pada minit ke-16.

Skuad kendalian Zairul Fitree Ishak terus dirundum malang apabila skuad Harimau Selatan terus melebarkan jaringan dengan meledak gol keempat perlawanan pada minit ke-19 hasil jaringan pemain pertahanan, Antonio Glauder.

Penyerang JDT Manuel Hidalgo meraikan gol jaringannya pada aksi Liga Super menentang Kelantan TRW FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri disini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Hidalgo menjaringkan gol kedua peribadinya pada perlawanan itu apabila menerima hantaran Bergson dari kawasan tengah sebelum menyungkit bola melepasi jangkauan Azfar Arif pada minit ke-25.

Skuad Harimau Selatan tidak menunjukkan belas kasihan kepada pasukan tuan rumah setelah Bergson melengkapkan jaringan hatrik pada minit ke-36, sebelum Stuart Wilkin menambah jaringan seminit kemudian.

Sebelum tamat babak pertama, Bergson meledak gol keempat peribadinya dalam perlawanan itu pada minit ke-41, menyudahkan hantaran Raul Parra dari sayap kanan lawan.

Bersambung babak kedua, JDT yang semakin buas melakukan serangan dan berjaya menambah jaringan seawal minit ke-50, berpunca daripada hantaran Hidalgo mencari Yago Cesar yang menanduk bola menerjah gawang lawan dari jarak dekat.

Bergson meledak gol kelima peribadinya pada perlawanan itu setelah menyempurnakan umpanan Teto Martin pada minit ke-53 menewaskan Azfar Arif.

Pada minit ke-62, giliran Hidalgo melengkapkan jaringan hatrik pada perlawanan itu apabila menanduk masuk hantaran silang Wilkin pada minit ke-62.

Tanpa diduga, TRW berjaya memperoleh gol saguhati pada minit ke-64 berpunca daripada sepakan sudut yang dikuis masuk oleh Farris Izdiham Awang Kechik menewaskan Christian Abad.

Bergson semakin menjadi-jadi apabila meledak gol ke-27 dalam saingan Liga Super musim ini apabila menjaringkan gol pada minit ke-83.

JDT terus tidak memberi muka kepada pasukan tuan rumah yang sudah tidak ‘bernyawa’ setelah Syamer Kutty Abba dan Teto Martin masing-masing meledak satu jaringan pada minit ke-85 dan ke-88.

Kemenangan tersebut membolehkan JDT memecah rekod jaringan kemenangan terbesar Liga Super yang dipegang oleh Selangor ketika membelasah Kelantan FC 11-2 pada musim 2023.

Habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN