BARCELONA: Barcelona mengesahkan kejuaraan La Liga selepas menewaskan musuh tradisi, Real Madrid 2-0 dalam aksi El Clasico, awal pagi tadi.
Kejayaan itu menyaksikan skuad kendalian Hans Flick menjulang trofi La Liga dua kali berturut-turut, biarpun liga masih berbaki tiga perlawanan.
Marcus Rashford dan Ferran Torres masing-masing meledak gol pada babak pertama untuk memastikan skuad kendalian Hansi Flick meraih gelaran liga ke-29.
Biarpun kecewa tersingkir di suku akhir Liga Juara-Juara kepada Atletico Madrid pada April lalu, Barca tetap menampilkan aksi meyakinkan untuk meraikan gelaran di hadapan penyokong sendiri.
“Gelaran ini lebih istimewa kerana kami menewaskan Real di laman sendiri. Sekarang kami mahu menikmatinya bersama penyokong.
“Kami adalah pasukan terbaik di Sepanyol. Sudah tentu kami juga mahu memenangi Liga Juara-Juara dan itu sasaran kami musim depan,” kata pemain tengah Barca, Frenkie de Jong.
Madrid tiba di Camp Nou dalam keadaan bergolak selepas Federico Valverde diketepikan susulan kecederaan kepala apabila bergaduh ketika latihan dengan Aurelien Tchouameni, yang tetap diturunkan.
Tanpa Lamine Yamal yang cedera, Flick mempertaruhkan Rashford di bahagian sayap kanan dan keputusan itu nyata berbaloi.
Barca yang hanya memerlukan keputusan seri untuk mengesahkan gelaran, terus garang apabila mendahului dua gol dalam tempoh 18 minit pertama.
Rashford membuka tirai jaringan menerusi sepakan percuma menarik dari luar kotak penalti sebelum Torres menggandakan kedudukan hasil gerakan bijak Dani Olmo.- AGENSI










