Azhar Idrus, Abdul Somad dibenar ceramah di Thailand

Azhar Idrus, Abdul Somad dibenar ceramah di Thailand

WEADURAMAE Mammingji (kiri) mengadakan perbincangan dengan ISOC4 di pejabatnya di Pattani, Thailand.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PATTANI (THAILAND): Pihak berkuasa negara ini membenarkan dua pendakwah iaitu Ustaz Azhar Idrus dari Malaysia dan Ustaz Abdul Somad dari Indonesia berceramah di sini dan Yala pada Rabu serta Khamis ini.

Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Pattani (MAIWP), Waeduramae Mammingji berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan Tentera Wilayah 4, Pusat Komando Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC4) dan Polis Peronda Sempadan berhubung kehadiran dua tokoh itu.

Katanya, ini kerana ada kumpulan yang membantah keha­diran mereka dengan mendakwa kedua-duanya pernah membuat kenyataan kontroversi yang boleh dikaitkan dengan perjuangan dan jihad di Selatan Thailand.

“Sebagai penganjur, kami mengambil inisiatif bertemu pihak berkuasa keselamatan wilayah selatan dan menerangkan tujuan menjemput kedua-duanya yang kini menjadi viral dalam media sosial,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Waeduramae berkata, pihak berkuasa meminta supaya kan­dungan ceramah tidak menyentuh isu-isu keselamatan.

Katanya, MAIWP telah menye­mak dan menapis kandungan kuliah dengan teliti, memastikan ia bersifat akademik, memberi tumpuan kepada perspektif yang sederhana dan bebas daripada politik atau perpecahan.

“Jawatankuasa ini komited terhadap tanggungjawab sosial dalam menyelia acara tersebut bagi memastikan ia teratur, telus dan ketat dalam kerangka perundangan.

“Dalam pertemuan itu, Timbalan Komander Tentera Wilayah 4, Mejar Jeneral Korakod Phuchote sendiri menyokong aktiviti keagamaan yang memberi manfaat kepada rakyat,” ujarnya.

Waeduramae berkata, tentera juga meminta orang ramai menggunakan budi bicara dalam mene­rima maklumat dan membantu mengekalkan suasana persefahaman, kepercayaan dan keamanan di wilayah sempadan selatan secara berterusan.

Katanya, pertemuan itu dianggap sebagai platform penting bagi meneruskan hubungan baik antara pihak berkuasa dan pemimpin agama yang memainkan peranan penting dalam membina persefahaman, kepercayaan dan berfungsi sebagai penghubung utama di wilayah selatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN