KUALA LUMPUR: Maria Chin Abdullah (PKR-Petaling Jaya) mempersoal siapa yang bertanggungjawab dalam proses permohonan kerja baharu untuk pekerja asing.
Katanya, ini kerana tindakan kerajaan yang tidak membantu dalam hal itu menyebabkan ramai golongan pengusaha kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas sehingga terpasa menutup perniagaan mereka.
Golongan berkenaan, katanya, tidak dapat memperbaharui permit pekerja asing mereka.
Jika perkara ini tidak dapat diselesaikan, tegas beliau, kerajaan harus berhenti daripada membawa konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang dilihat berterusan dilihat membebankan masyarakat.
“Siapakah yang bertanggungjawab sebenarnya dalam proses permohonan permit kerja baharu untuk pekerja asing? Sehingga kini, tidak ada malumat dan garis panduan yang jelas untuk PKS dan pemilik perniagaan kecil-kecilan untuk menguruskan proses pengambilan pekerja. Begitu juga dengan masalah yang dihadapi oleh ramai pengusaha gerai di pusat penjaja dan restoran makanan.
“Adakah masalah ini perlu ditangani oleh Kementerian Dalam Negeri atau Kementerian Sumber Manusia atau Jabatan Imigresen? Persoalannya, apakah mereka saling berbincang untuk menyelesaikan masalah tersebut?
“Kerajaan harus berhenti dengan slogan kosong ‘Malaysia Prihatin’ dan Keluarga Malaysia’, pada masa yang sama mengambil sikap tidak peduli dengan ribuan pemilik perniagaan kecil Malaysia yang hampir lemas kerana cuba menyelamatkan perniagaan mereka,” katanya di Parlimen hari ini.
Mengambil contoh yang berlaku, Maria Chin berkata, terdapat ribuan peniaga kecil yang terpaksa menghentikan operasi perniagaan mereka kerana sukar mendapatkan permit baharu ataupun memperbaharui permit pekerja asing.
Ramai pekerja asing untuk perniagaan kecil-kecilan terpaksa kembali ke negara asal sekali gus pengusaha tempatan mengalami kerugian kerana tidak dapat memperbaharui permit kerja mereka walaupun telah berkhidmat selama 10 tahun.
Menurut Jabatan Statistik Malaysia, lebih daripada 60 peratus pekerjaan di negara ini disediakan oleh PKS dan pada ketika pandemik Covid-19, pekerja dalam sektor PKS adalah golongan yang paling banyak terjejas. – UTUSAN ONLINE