KUALA LUMPUR: Kerajaan telah mula mengadakan sesi rundingan bersama pembangkang sebelum Bajet 2022 dibentangkan di Parlimen, bulan depan.
Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa berkata, ini susulan daripada memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara kerajaan dan pembangkang pada 13 September lalu.
“Kerajaan komited berbincang bersama pembangkang untuk memastikan cadangan inisiatif dan langkah bajet memberi keutamaan kepada kesihatan dan kebajikan rakyat.
“Di atas semangat kesepakatan bersama terutama dalam usaha untuk bangkit semula daripada kesan Covid-19 dan atas keprihatinan kerajaan dan pembangkang untuk memulihkan semula negara, kerajaan berharap bajet yang akan dirunding kelak berjalan lancar dan dapat dipersetujui secara bersama,” katanya ketika sesi penggulungan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Pada masa sama, Yamani berkata, rangka Bajet 2022 boleh dilihat dengan jelas menerusi Kenyataan Pra-Bajet pada 31 Ogos lalu.
“Ia bagi meningkatkan ketelusan proses merangka inisiatif bajet tahunan serta membina keyakinan awam terhadap pengurusan fiskal negara terutamanya dalam kalangan pelabur.
“Ia adalah satu tranformasi bagi menyediakan peluang kepada pihak berkepentingan untuk beri maklum balas masing-masing ke arah perangkaan bajet yang memenuhi keperluan rakat serta selaras dengan objektif negara,” katanya.
Tambahnya, ia juga memberi gambaran awal mengenai keutamaan dan matlamat dalam penyediaan Bajet 2022, sebagai antara tumpuan yang diberikan untuk melindungi dan memulihkan kehidupan serta mata pencarian dan membina semula daya ketahanan negara.
“Inisiatif dan langkah Bajet 2022 yang dirangka ini akan berpaksikan kepada kedua-dua matlamat ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE










