Pakej Penjagaan Covid-19 bernilai RM471.6 juta untuk B40 - Utusan Malaysia

Pakej Penjagaan Covid-19 bernilai RM471.6 juta untuk B40

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan memperuntukkan lebih RM471.6 juta bagi tujuan pemberian Pakej  Penjagaan Covid-19 (PPC) kepada Keluarga Malaysia kategori B40 dalam  usaha memastikan diri dan keluarga mereka bebas daripada jangkitan Covid-19.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia sebagai  persediaan negara ke arah era endemik yang antara lain bertujuan meringankan beban kewangan  perbelanjaan isi rumah golongan itu.

Beliau berkata, bantuan PPC itu mengandungi pek pelitup muka guna semula (empat keping setiap keluarga), kit ujian kendiri Covid-19 (empat kit setiap keluarga), seunit pulse oximeter, seunit termometer dan risalah panduan penggunaan serta info kesihatan.

Kata beliau, pemberian PPC buat masa ini dimulakan dengan penerima Bantuan  Prihatin Rakyat (BPR) yang sudah berkeluarga dalam kalangan isi rumah B40 yang sudah berkahwin dengan ada atau tidak mempunyai anak; atau ibu atau bapa tunggal mempunyai anak.

“Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada lebih kurang 3.6 juta keluarga B40 dan secara keseluruhannya terdapat 8.4 juta penerima BPR.

“Usaha itu juga sebagai melatih diri membudayakan norma baharu  sekali gus membantu melindungi keluarga mereka daripada jangkitan virus  Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga bersetuju melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin Covid-19 dalam usaha meningkatkan perlindungan kepada golongan  rentan daripada risiko jangkitan wabak itu.

Beliau menjelaskan, keutamaan pemberian dos ketiga ini tertumpu kepada kumpulan yang  berisiko tinggi terlebih dahulu seperti anggota barisan hadapan kesihatan,  pesakit kurang daya tahan imun dan  warga tua dengan komorbiditi.

Kata Perdana Menteri, ini termasuk individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang apabila liputan imunisasi populasi dewasa  di seluruh negara melebihi 80 peratus.

“Dos ketiga ini dapat meningkatkan tahap imuniti dalam kalangan individu  berisiko tinggi terhadap jangkitan Covid-19, yang mungkin menurun dalam tempoh tertentu selepas dos kedua.

“Untuk itu, panel pakar perubatan dan  kesihatan sedang membangunkan garis panduan pelaksanaan pemberian  dos ketiga ini,” katanya.

Perdana Menteri pada masa sama memberitahu, kesemua perincian berhubung pelaksanaan PPC dan pemberian dos ketiga vaksin akan diumumkan Menteri  Kesihatan, Khairy Jamaluddin. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya